Isopod gergasi merupakan spesies hidupan laut dari keluarga krustasea (seperti udang dan ketam) yang hidup di laut dalam Atlantik, Pasifik serta Laut India. Isopod gergasi yang turut digelar sebagai ‘pemakan bangkai’ ini gemar memakan bangkai haiwan dan akan berlapar buat tempoh tertentu.

Bagaimanapun, pada 14 Februari 2014, isopod gergasi ini ditemui mati oleh penjaganya dalam satu acara memberi makan di Akuarium Toba, Jepun setelah berlapar selama 5 tahun 43 hari. Isopod jantan yang diberi nama No. 1 ini kali terakhir dilaporkan makan adalah pada Januari tahun 2009. Pada ketika itu, penjaganya memberi makan seekor ikan tenggiri seberat 50 gram.

Bagaimanapun, No. 1 tidak lagi mahu memakan apa-apa selepas itu. Setiap kali diberi makanan, penjaganya iaitu Takeya Moritaki mendakwa No. 1 akan berpura-pura menggerakkan mulut dan kaki hadapannya seolah-olah hidupan ini sedang makan namun hakikatnya, tidak. Isopod ini hanya cuba untuk menggembirakan orang lain dengan berpura-pura makan.

Adakalanya Takeya akan menjemput beberapa wartawan untuk merakamkan detik bersejarah sekiranya No. 1 akan makan semula selepas sekian lama berlapar namun hampa. Setiap kali acara memberi makan, No. 1 hanya akan bermain-main dengan makanannya sehinggalah suatu hari, No. 1 tidak lagi bernyawa.

Pada kejadian, Takeya sedang menyediakan seekor ikan tenggiri untuk diberikan kepada No. 1. Bagaimanapun, No. 1 tidak memberikan sebarang respon dan hanya terdiam kaku. Takeya terus membawa No. 1 keluar dari tangkinya dan pada ketika itulah, isopod gergasi ini disahkan mati setelah hidup selama 5 tahun 43 hari tanpa makanan.

Pihak akuarium telah menjalankan penyelidikan dan tidak dapat mengenal pasti punca kematian isopod tersebut. Bagaimanapun, No. 1 kini berada di dalam proses pengawetan bagi membolehkan penyelidik mengkaji mengapa hidupan laut gergasi ini enggan menikmati makanannya.

Sebelum ini, sekitar tahun 2007, No. 1 telah dibawa dari Teluk Mexico ke Akuarium Toba untuk menjalani kehidupan yang lebih terkawal bagi membolehkan penyelidikan dijalankan ke atasnya. Pada ketika itu, No. 1 dikatakan memiliki berat hampir 1kg dengan ukuran panjang 29cm.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP GLOBAL

Video Popular