Kita semua digalakkan untuk sentiasa berbuat baik sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan juga darjat. Bak kata pepatah, perbuatan yang baik akan dibalas dengan kebaikan dan perbuatan yang buruk akan dibalas dengan keburukan. Ini perkara yang perlu kita sematkan dalam diri kita semua.

Baru-baru ini, seorang ketua polis daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal telah menjadi bualan hangat media sosial apabila videonya bersama dengan seorang wanita tua menjadi tular di Facebook. Menerusi video siaran langsung pada 17 Jun itu, Ezanee dikatakan ingin memberi kejutan dengan membawa sebungkus pau dan sekotak topeng pelitup muka untuk diberikan kepada seorang wanita berbangsa Cina.

Sebaik sahaja melihat Ezanee menunggu di luar pagar rumah, wanita yang lebih mesra disapa sebagai Ah Siong ini kelihatan teruja dan mengukir senyuman sambil mendekati Ezanee. Rupa-rupanya, kedua-duanya memiliki kenangan manis bersama suatu ketika dahulu di mana Ah Siong seringkali membelikan pau untuk Ezanee semasa anggota polis itu masih kecil.

Menurut Ezanee, dia mempunyai hubungan yang akrab dengan Ah Siong kerana wanita itu pernah bekerja sebagai penyelia di syarikat milik ibu bapanya selama 30 tahun! Dahulu, setiap kali Ah Siong mengetahui Ezanee akan datang ke pejabat, Ah Siong akan membelikan sebungkus pau berperisa pandan khas untuk Ezanee.

“Kelmarin, ibu bapa saya memberitahu bahawa Ah Siong masih sihat, jadi saya mengambil keputusan untuk melawatnya,” kata Ezanee kepada MalaysiaKini. Katanya lagi, dia mahu membalas jasa Ah Siong selama dia berkhidmat di syarikat tersebut.

Facebook | Polis Daerah Petaling Jaya

Kasih sayang yang terjalin di antara kedua-dua jelas memaparkan hubungan yang akrab. Kedua-dua mereka berbual di dalam rumah dan Ah Siong turut menceritakan bahawa dia akan mengumpul setiap keratan surat khabar yang memaparkan Ezanee. Salah satunya adalah keratan artikel yang melaporkan tentang kejayaan Ezanee apabila dia dilantik sebagai ketua polis Petaling Jaya pada tahun ini.

“Ah Siong masih ingat pada saya. Dia membaca setiap berita tentang saya di akhbar bahasa Cina dan menyimpan berita itu. Perkara ini amat mengejutkan saya”.

Facebook | Polis Daerah Petaling Jaya

Pada penghujunh video tersebut, kedua-dua Ah Siong dan Ezanee berpelukan sebelum mengucapkan selamat tinggal. Ezanee juga sempat berjanji untuk menziarahi Ah Siong kelak sekiranya ada kelapangan. Penularan video ini meraih begitu banyak respon yang positif di mana rata-ratanya memuji Ezanee kerana menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat. Semoga ia akan menjadi teladan yang baik untuk kita ikuti.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular