Antara salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya adalah keadaan jalan raya itu sendiri. Sering kali kita melihat jalan berlubang dan ia ternyata membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Salah seorang mangsa jalan raya berlubang adalah pengguna Twitter ini, Khairul Nazli yang telah berkongsi pengalaman ngeri serta kecederaan parah yang dialaminya. Dia difahamkan mengalami patah rahang ketika menunggang motosikal.

Khairul Nazli/Twitter

Insiden tersebut berlaku pada 18 Jun 2019, di mana jalan yang berlubang membuatkan motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu mengakibatkan dia terpelanting dan mendarat di atas dagunya di atas jalan.

Ketika dalam perjalanan ke Mont Kiara untuk pergi makan, dia ternampak satu lopak jalan di lorong motosikal Jalan Duta. Ianya tidak begitu dalam namun panjangnya hampir sama seperti lebar motosikal miliknya.

Khairul Nazli/Twitter

Khairul tidak mempunyai pilihan lain melainkan terus melalui lopak tersebut. Ia secara tidak langsung menyebabkan tayar motosikalnya tersangkut pada bahagian depan lopak. Sedar-sedar sahaja, dia sudah berada di atas jalan raya dengan dagunya mendarat di atas jalan.

Mukanya kebas manakala mulut dan hidungnya dipenuhi dengan darah. Tiga gigi hadapannya patah, manakala satu gigi kapak dicabutnya sendiri dengan tangan. Setelah dihubungi, ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pun tiba.

Khairul Nazli/Twitter

Dia kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada jam 4:40 petang dan sehingga 11 malam, tiada rawatan yang diberikan. Menurut Khairul, dia perlu beratur selama dua jam di luar bilik x-ray dan pada ketika ini, dia masih tidak tahu lagi tahap kecederaannya.

Pada jam 11:30 malam, doktor datang. Bahagian bibir bawah yang terbelah dua, dicantumkan semula. Begitu juga dengan dagu. Satu gigi kapak tertolak sehingga ke lelangit lalu doktor pulas dan mencabutnya.

Keesokan harinya, doktor pakar datang. Menerusi x-ray 2D, dia dapat lihat rahang kirinya patah. Jika mahu gambaran yang lebih jelas, Khairul disarankan untuk menjalani imbasan CT tetapi perlu menunggu giliran.

Khairul Nazli/Twitter

Dipendekkan cerita, dia kemudian dipindahkan ke KPJ Tawakal. Di sana dia menjalani imbasan CT dan mengejutkan apabila kecederaannya jauh lebih teruk daripada apa yang dimaklumkan padanya sebelum ini.

Kedua-dua rahangnya belah kiri dan kanan sebenarnya patah, begitu juga dengan bahagian hidung dan dagunya. Gigi gerahamnya pula banyak yang pecah dan terpusing. Dr Shamsul mencadangkan agar pembedahan dan pemasangan Arch Bar dilakukan.

Keesokannya, Khairul menjalani pembedahan. Bahagian hidung dibetulkan semula manakala sebanyak 3 plat logam dan skru dipasang di bahagian rahang kanannya serta pada dagu. Manakala rahang kiri hanya dibiarkan.

Khairul Nazli/Twitter

Ianya disebabkan oleh kepatahan tersebut berlaku dekat dengan saraf pendengaran. Ketika di bilik kawalan rapi, dia terpaksa bernafas dengan tiub di lehernya, iaitu secara ‘tracheostomy’. Beberapa hari kemudian, dia dipasangkan dengan Arch Bar penuh.

Selama dua bulan dia hanya minum susu dan cecair sahaja sehingga tubuhnya menjadi kurus. Sebulan kemudian, barulah dia boleh makan kuetiau dan nasi namun masih tidak boleh kunyah. Hanya mampu tolak lidah ke lelangit dan hancurkan untuk menelannya.

Sebanyak 7 batang gigi atasnya tidak dapat diselamatkan. Gusi bahagian atasnya pula separa hancur. Walaupun sudah setahun berlalu, namun Khairul masih ingat gusinya dipotong kerana cedera teruk. Daging pula disiat walaupun setelah dibius.

Khairul Nazli/Twitter

Mujurlah keadaan Khairul kini semakin baik namun dia masih perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya selama tiga tahun lagi. Khairul juga kini sedang dalam proses untuk menjalani rawatan penanaman gigi.

Ekoran tragedi hitam yang melibatkan keadaan jalan raya berlubang maka Khairul sempat juga menasihati penunggang motosikal terutamanya penghantar makanan Grab Food atau Food Panda untuk sentiasa berhati-hati ketika menunggang motosikal.

“Mata sentiasa di depan. Doa sentiasa baca. Hati-hati. Sebab bawa motor ni kalau bukan salah kita sekalipun, still boleh membunuh kita”, tulisnya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular