- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Dengan menggunakan bahan terpakai, remaja India ini berjaya cipta sut Iron Man yang boleh berfungsi

Seorang remaja berusia 20 tahun dari India mencipta nama besar di mata dunia apabila berjaya menghasilkan replika sut War Machine Marvel daripada bahan elektronik terpakai. Remaja yang dikenali sebagai Ningombam Prem ini dilaporkan berasal dari Manipur dan mula berminat untuk menghasilkan sut Iron Man itu setelah mendapat pujukan daripada adik lelakinya.

Menurut laporan Swarajya Magazine [1], pada awalnya adik Prem menyatakan hajatnya untuk memiliki sut Iron Man sebagai koleksi mainan namun memandangkan keluarga Prem bukan berasal daripada golongan berada, maka mereka tidak mampu untuk membelikan sut Iron Man tersebut. Justeru, sebagai seorang abang yang penyayang, Prem telah nekad untuk cuba menghasilkan sendiri sut Iron yang berfungsi dengan menggunakan barangan lama dan terpakai.

Menurut Prem, sebahagian besar sut tersebut diperbuat daripada kadbod, alat mainan elektronik, lampu kecemasan, picagari, kerangka pembesar suara dan juga tiub IV. Meskipun ciptaan ini tidaklah secanggih sut Iron Man yang anda lihat di kaca televisyen di mana pemakainya boleh memancarkan laser dan terbang di udara, namun Prem berjaya membuatkan sut ini menyalakan lampu dan menggerakkan bahagian tertentu yang dikuasakan oleh beberapa motor.

Kejayaan hasil ciptaan Prem telah membuatkan namanya menjadi sebutan ramai apatah lagi Prem tidak pernah mendapat pendidikan atau latihan berkaitan bidang robotik. Apa yang lebih menakjubkan pada anak muda ini adalah hasil ciptaannya adalah 100% berdasarkan kepada pemerhatian.

Bagaimanapun, tidak dinafikan Prem memiliki kecenderungan dan minat yang tinggi dalam bidang tersebut sejak kecil lagi. Bukan sahaja itu, minat Prem terhadap bidang robotik mula bergelora sejak dia menonton filem Iron Man kira-kira lima tahun yang lalu.

Sejak itu, Prem mula berusaha menghasilkan bermacam-macam peralatan dan mekanisme robot seperti replika helmet Iron Man dan juga alat penembak sarang labah-labah seperti yang anda lihat dalam filem Spiderman.
 

Memetik kenyataan Prem dalam Swarajya Magazine [1], Prem berharap agar ciptaan saintifiknya ini boleh menyumbang kepada industri perfileman Manipur yang rata-ratanya lebih cenderung untuk menghasilkan filem bertemakan romantik. Selain meminati robot, Prem juga sangat berbakat dalam lukisan. Kini, dia sedang menyertai kolej tempatan dalam bidang kesenian bagi menunjukkan bakat dan juga hasil karya seninya kepada orang ramai terutamanya menerusi medium Facebook. Semoga pihak berwajib dapat menghulurkan bantuan yang sewajarnya bagi memastikan permata seperti Prem ini akan terus bersinar di masa hadapan dan mengharumkan nama negara India.

loading...