Ketika musim PKP sehingga PKPP, ramai juga kalangan pelajar baik yang masih bersekolah serta penuntut IPT yang merungut kerana capaian jalur lebar sangat lemah sekali-sekala walaupun majoritinya duduk sahaja diam-diam di rumah dengan segala kemudahan terbentang di hadapan mata.

Seorang penuntut dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini terpaksa berkhemah di atas pokok selama 24 jam untuk mendapatkan capaian internet lebih baik demi menduduki peperiksaan dalam taliannya, membuat kita berfikir betapa bersyukurnya nikmat kehidupan ini walaupun sederhana.

Pelajar Asasi Sains UMS, Veveonah Mosibin yang berusia 18 tahun mendokumentasi pengalamannya dengan cabaran menghadapi peperiksaan universiti di atas pokok dan memuat naik video tersebut ke saluran YouTube miliknya, Veveonah M. pada 12 Jun dengan tajuk ‘24 Hours On Tree | Challenge’.

Veveonah M./YouTube

Pelajar pintar berjiwa kental, Veveonah yang berasal dari Kampung Sepatalang di Pitas, Sabah mula menyiarkan video dan berjinak-jinak menjadi YouTuber sejak sebulan yang lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dengan perkongsian gaya hidupnya yang ringkas bersama penerapan informasi kelangsungan hidup berguna di pedalaman Sabah.

Dalam video berdurasi 11 minit 21 saat, Veveonah berkata bahawa dia tidak berniat untuk menduduki peperiksaan dalam taliannya di atas pokok.

Veveonah M./YouTube

Veveonah sudah pun membina sebuah pondok kecil di atas bukit berhampiran kampungnya untuk mendapatkan capaian internet terbaik sebagai persiapan menghadapi peperiksaan dalam talian.

Malangnya, dia mendapati pondok itu telah musnah berikutan angin kencang dan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Veveonah M./YouTube

“Saya tidak sangka ia boleh roboh. Saya sudah membinanya sekuat mungkin,” jelasnya dengan nada kecewa.

Dengan berbaki dua jam sebelum peperiksaan pertamanya bermula pada jam 9 pagi, pelajar ini bertekad dengan memutuskan untuk memanjat pokok demi mendapatkan capaian internet yang lebih stabil dan baik untuk menyelesaikan peperiksaannya.

Berbekalkan dua telefon pintar, satu powerbank, nasi kepal dan air, kelambu ‘nenek moyang’ (katanya), alat tulis, dan kalkulator saintifik, Veveonah akhirnya berjaya mendirikan khemah di atas pokok tepat pada waktunya sebelum bermula peperiksaan subjek Kimia.

Veveonah M./YouTube

Pelajar cekal, berani dan selamba ini benar-benar berada di atas pokok selama 24 jam menghadapi cabaran itu.

Semasa menunggu untuk menduduki peperiksaan Pengajian Malaysia, Veveonah tiba-tiba menyedari terdapat seekor tebuan berbisa memasuki khemah di atas pokoknya.

“Tebuan ini sangat berbahaya.. anda tahu. Jika tersengat, ia sangat menyakitkan,” katanya dalam video itu sambil cepat-cepat menghalaunya keluar dari kelambu.

Veveonah M./YouTube

Walaupun dia kelihatan agak panik juga, namun dengan tenang telah menangani situasi itu dan berjaya menghalau tebuan tersebut dengan lembut tanpa disengat.

Selesai menduduki peperiksaan Pengajian Malaysia pada waktu petang, Veveonah meneruskan cabaran itu dengan bermalam di atas pokok.

Pada malam hari, katanya dia harus tidur lebih awal kerana tidak mempunyai sumber cahaya selain telefon bimbitnya, yang mana dia tidak mahu membuang baki tenaga bateri yang ada.

“Di kampung kami, keadaan menjadi sangat gelap dan kami tidak mempunyai kemudahan elektrik. Jadi biasanya kami tidur sekitar jam 7 malam untuk menjimatkan penggunaan lilin,” katanya.

Veveonah M./YouTube

Malam itu, Veveonah berkata dia tidak dapat tidur nyenyak kerana cuaca sejuk dan mendengar macam-macam suara di dalam hutan.

Namun begitu setelah 24 jam, dengan hasil semangatnya yang kental dia berjaya menyelesaikan cabaran itu sebelum bersiap-siap mengemas dan pulang ke rumah untuk bersarapan serta dimarahi ibunya yang bimbang.

Dalam video terbarunya, Veveonah menyatakan bahawa dia sangat teruja kerana rakaman video itu adalah video YouTube yang paling banyak ditonton sehingga kini telah mencecah lebih 300,000 tontonan dan ia terus meningkat.

Saluran YouTube Veveonah M. kini begitu cepat menarik perhatian warganet, dengan lebih 40,000 pelanggan sejak dia menyiarkan video pertamanya pada bulan Mei.

Veveonah M./YouTube

Veveonah berkongsi video dengan kandungan menarik yang menyoroti kehidupan kampungnya, menunjukkan kemahiran kelangsungan hidup ketika berada di dalam hutan seperti bagaimana menyalakan api hanya menggunakan kayu api, membuat tangga untuk memanjat pokok kelapa serta mengopek kelapa menggunakan tangan kosong dan batu, dan juga bagaimana membuat perigi dengan mengunakan kudrat dan akalnya yang bijaksana. 

Disamping itu, kefasihan Veveonah berbahasa Inggeris turut menarik perhatian warganet antarabangsa sehingga melonjakkan perkongsian video itu menjadi tular dalam jangka masa singkat.

Tonton video di bawah:

Veveonah M./YouTube

Maybe you're interested :

Share

Video Popular