KUALA LUMPUR – Sekumpulan warga asing dari Bangladesh telah ditahan oleh polis selepas disyaki bersekongkol dalam kegiatan pemalsuan keputusan ujian saringan COVID-19 untuk golongan warga asing di ibu kota.

Kelima-lima suspek yang berusia antara 26 tahun hingga 30 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan tersebut telah ditahan pada jam 11 malam di Jalan Tengkat Tong Shin, Bukit Bintang pada 9 Jun yang lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, kesemua mereka ditahan hasil siasatan susulan terhadap dua lelaki yang terbabit dengan kegiatan yang sama di Jalan Alor pada 5 Jun yang lalu.

Berita Harian

“Dalam serbuan sama, polis merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama dan satu salinan surat saringan COVID-19 tertera nama sebuah makmal perubatan”.

Susulan dengan itu, pada 9 dan 10 Jun lalu, terdapat tiga laporan polis diterima berhubung pemalsuan keputusan saringan ujian COVID-19.

“Dalam ketiga-tiga kes itu, hospital dan makmal di sekitar Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya menerima panggilan dan e-mel daripada majikan yang mahu mendapatkan pengesahan laporan keputusan ujian saringan Covid-19”.

Walau bagaimanapun, selepas semakan dibuat, pihak hospital dan makmal mendapati nama pesakit yang dinyatakan dalam laporan keputusan tersebut tidak dapat dikesan dalam rekod berdaftar hospital dan makmal.

“Malah doktor yang membuat saringan tidak bertugas di hospital dan makmal seperti dalam laporan keputusan ujian saringan COVID-19 tersebut”, jelasnya lagi.

Bernama TV/Facebook

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, yang boleh dihukum penjara maksimum 7 tahun dan denda jika disabit kesalahan.

Selain itu, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.

“Usaha mengesan semua suspek lain kini sedang giat dijalankan. Majikan disaran membuat semakan keputusan ujian saringan COVID-19 yang diserahkan pekerja mereka dan pihak pengeluar laporan sebelum mengambil mereka bekerja”, katanya.

Kegiatan pemalsuan dokumen oleh sindiket ini dilakukan bertujuan untuk mengaburi majikan dengan cara mengeluarkan keputusan saringan COVID-19 yang negatif bagi warga asing mendapatkan pekerjaan.

“Sikap tidak bertanggungjaawb dan hanya mengutamakan keuntungan sebegini membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19”, akhirinya.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular