- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu semasa mengisi maklumat mungkin membahayakan ahli keluarga

Umum ketahui bahawa sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kerajaan sudah mula mengeluarkan tatacara yang perlu dipatuhi oleh mana-mana premis perniagaan yang berniat untuk beroperasi.

Antaranya adalah dengan mengambil rekod dari semua pelanggan yang hadir ke premis mereka dan rekod yang perlu diambil adalah seperti nama, nombor telefon dan juga suhu badan pelanggan sebelum mereka masuk ke dalam premis perniagaan. 

Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud/Facebook [1]

Walau bagaimanapun, nampaknya rekod yang mudah sebegini telah diambil ringan dan dijadikan bahan jenaka bagi sesetengah rakyat Malaysia dengan meletakkan nama, nombor telefon serta suhu yang palsu dalam buku rekod.

Hal ini telah ditegur oleh laman Facebook rasmi Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud [1] yang meminta orang ramai berhenti berjenaka tentang perkara yang serius sebegini.

“Sekiranya anda adalah insan yang masuk dalam premis bersama kes yang positif COVID-19 tanpa anda sedari, dan pesakit tersebut telah menyebarkan penyakit dalam premis dan menjangkiti ramai orang. Siapakah yang akan pihak kesihatan akan hubungi? Adakah nama yang anda tuliskan ini akan membantu mempercepatkan kawalan dalam situasi tersebut? Adakah nombor telefon yang anda catitkan tersebut akan mempermudahkan urusan?”

Gambar Hiasan/Unsplash [2]

Sesungguhnya, seperti yang dinasihatkan laman Facebook ini, mana-mana individu yang melakukan perkara ini hanya akan memperjudikan nasib seluruh keluarga yang tinggal bersama mereka.

Hal ini kerana rekod palsu yang ditulis dengan niat berjenaka itu pastinya tidak akan memberi apa-apa manfaat, malah memudaratkan sekiranya wabak virus COVID-19 telah tersebar di dalam premis yang dilawati tersebut.

Gambar Hiasan/Unsplash [3]

“Bagi mereka yang menipu dalam memberi data tersebut, nasib anda akan menjadi lebih malang kerana anda antara insan insan terakhir yang dapat dikesan itupun selepas anda mendapat simptom, pergi ke hospital dan mengakui yang anda pernah berada dalam premis yang telah tercemar dengan COVID-19. Keadaan akan bertambah rumit sekiranya anda adalah pembawa penyakit yang tidak bergejala,” tambah kiriman itu lagi.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa jujur dalam memberi maklumat yang ringkas ini kerana tindakan ini akan membantu pihak kesihatan memantau keadaan semasa dan dalam masa yang sama mengelakkan rantaian wabak COVID-19 semakin berleluasa.

“Jadilah individu yang bertanggungjawab demi kesejahteraan kita bersama.”

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telahpun mendapat sebanyak 538 perkongsian, 247 reaksi dan 62 komen.

loading...