Kasih sayang seorang nenek kepada cucu semestinya tiada bandingnya. Mereka akan lakukan segalanya untuk memastikan cucu kesayangan mereka mendapat semua yang dihajatkan.

Dan, perkongsian kisah oleh seorang pengguna Facebook dalam laman kumpulan “Spritual Commune” ini pastinya adalah satu kisah sayu yang boleh membuat ramai pembaca menitiskan air mata.

Gambar Hiasan/Unsplash

Memulakan kisah yang dialami, pengirim menulis bahawa mendiang neneknya merupakan seorang ibu tunggal yang terpaksa membesarkan anaknya selepas suaminya meninggal dunia kerana terkorban semasa bertugas sebagai anggota polis.

Disebabkan itu, selepas kelahiran pengirim dan kakaknya, mendiang neneknya berasa sangat bertanggungjawab kepada kedua beradik ini dan mereka sangat manja dengan mendiang neneknya.

Bagaimanapun, selepas meningkat dewasa, pengirim mula keluar dari kampung halamannya untuk bekerja di bandar. Sehinggalah pada suatu hari dalam bulan Oktober 2011, pengirim tiba-tiba menerima satu panggilan daripada kampung halamannya yang memaklumkan bahawa mendiang neneknya berada dalam keadaan nazak.

Gambar Hiasan/Unsplash

Tanpa berfikir panjang, pengirim segera memohon cuti dan bergerak pulang ke kampung, dengan harapan agar mendiang neneknya masih dapat bertahan pada waktu itu.

Setibanya di hospital, pengirim tidak dapat mencari mana-mana ahli keluarganya. Dalam keadaan yang menekan itu, tiba-tiba pengirim menerima satu panggilan.

Panggilan dari bapanya itu meminta pengirim untuk turun ke aras bawah tanah hospital.

Pada ketika itu, hati pengirim hancur. Mengetahui bahawa mendiang nenek kesayangannya telah pergi kerana aras itu hanya menempatkan bilik mayat.

Gambar Hiasan/Unsplash

Sesal pengirim tidak berkesudahan, dia tidak sempat melihat, apatah lagi menemani mendiang neneknya di saat-saat akhir kehidupannya.

Selepas menemui ahli keluarganya, pengirim diberitahu bahawa mendiang neneknya telah ‘pergi’ kira-kira 10 minit sebelum ketibaannya.

“Saya tidak sempat melihat kesakitan nenek pada saat akhirnya, saya masih ingat di hati saya,” tulisnya.

Tidak lama kemudian, ibu saudara pengirim memberikannya sebuah bungkusan yang didakwa merupakan hadiah daripada mendiang neneknya khas untuknya. Tetapi pesan mendiang neneknya, bungkusan itu hanya boleh dibuka ketika pengirim dalam kesusahan sahaja.

Gambar Hiasan/Unsplash

Kira-kira enam bulan setelah pemergian mendiang neneknya, pengirim ditimpa kesusahan. Dia tidak mempunyai apa-apa pendapatan selama setahun. Namun, pengirim tidak sanggup untuk meminta bantuan daripada ibu bapanya yang tinggal di luar negara dan kakaknya yang sudah berkeluarga.

Jadi, untuk tidak menyusahkan sesiapa, pengirim hanya menanggung kesusahan bersendirian. Sehinggalah pada suatu hari, pengirim mula mendapat mimpi kehadiran mendiang neneknya yang hanya memerhati dirinya dengan wajah yang sedih.

Mimpi tentang mendiang neneknya datang berhari-hari, sehinggalah akhirnya pengirim teringat tentang bungkusan yang ‘diwasiatkan’ untuknya.

Dengan rasa keberatan, pengirim membuka bungkusan itu.

Gambar Hiasan/Unsplash

Bungkusan itu rupa-rupanya mengandungi ribuan dolar wang tunai, dua perhiasan emas dan sebuah telefon bimbit Nokia 3310.

Pada waktu itu, pengirim teringat kisah dirinya yang meminta mendiang neneknya untuk membelikannya telefon bimbit itu ketika ramai rakan sekelasnya yang memiliki model telefon bimbit itu.

Walaupun pada waktu itu mendiang neneknya tidak bersetuju dengan permintaan pengirim, namun siapa tahu bahawa sebenarnya mendiang neneknya tetap membeli telefon bimbit itu untuk cucu kesayangannya itu.

Gambar Hiasan/Unsplash

Selain daripada barangan yang diletakkan dalam bungkusan, mendiang nenek pengirim juga tidak lupa meninggalkan sepucuk surat buat cucunya. Tulisnya:

“Cucuku yang baik, apabila kamu membuka bungkusan ini, bermakna kamu berada dalam keadaan yang susah. Ambillah wang tunai ini agar kamu masih punyai harapan untuk masa hadapan, kamu boleh terus mara ke hadapan, dan telefon bimbit ini nenek mahu berikan kepada kamu apabila kamu mencapai umur 18 tahun, tetapi nenek telah terlupa kerana nenek sudah tua, jadi nenek letakkannya di sini. Ingatlah bahawa kehidupan ini indah.”

\

Gambar Hiasan/Unsplash

‘Bantuan’ yang tidak disangka-sangka ini ternyata telah menyelamatkan pengirim daripada terus ‘tenggelam’ dalam kehidupan. Selepas usai membayar semua hutang yang ada dengan wang tunai yang diberikan oleh mendiang neneknya, pengirim berjaya kembali hidup seperti biasa dan mula mendapat rezeki lain seperti kenaikan pangkat di tempat kerjanya.

Tidak lama selepas itu, pada suatu malam ketika pengirim hendak tidur, dia tiba-tiba merasakan kehadiran ‘seseorang’ dihujung katilnya. Selepas bangun, dia mendapati kelibat mendiang neneknya berdiri di situ sambil tersenyum dan berkata:

“Cucuku yang baik, melihat kamu semakin stabil, nenek boleh pergi dengan rasa tenang. Dan nenek akan terus memberi semangat kepada kamu di masa hadapan, tidak kira dimanapun nenek berada, nenek pasti akan memberi semangat kepada kamu!”

Maybe you're interested :

Share

Video Popular