- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

COVID-19 : Kes baharu meningkat, penduduk mula gusar Beijing akan menjadi seperti Wuhan

BEIJING – Peningkatan jumlah kes virus Parti Komunis China (COVID-19) iaitu sebanyak 36 kes pada 13 Jun dilaporkan telah mencetuskan gelombang kedua wabak ini, di mana pengguna internet rata-ratanya mulai bimbang Beijing bakal menjadi Wuhan kedua.

Menurut laporan di laman web Suruhanjaya Kesihatan Nasional China pada 14 Jun, terdapat penambahan sebanyak 36 kes tempatan di Beijing pada 13 Jun. Ia melibatkan 15 orang lelaki dan 21 orang wanita.

Menurut laporan, salah seorang pesakit daripada 36 kes itu, iaitu seorang lelaki berusia 56 tahun dari Xicheng, Beijing, bekerja di Syarikat Bas Lapangan Terbang Beijing.

NOEL CELIS/AFP via Getty Images

Pada 13 Jun pula, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Beijing mendedahkan bahawa terdapat 6 kes baharu yang disahkan pada 12 Jun lalu. Terdahulu pada 11 Jun, Beijing telah mengesahkan bahawa terdapat kes penularan tempatan baharu berlaku di bandar itu.

Laporan rasmi mendedahkan bahawa penularan berpunca daripada pasar borong di Daerah Fengtai. Kes yang telah disahkan melibatkan seorang jurujual dan pemandu yang bekerja di pasar, pelanggan yang membeli produk daging dan dua orang pekerja institusi penyelidikan yang melakukan pengambilan sampel makanan.

Sumber daripada media rasmi mengatakan bahawa kakitangan yang menjalankan pemeriksaan telah menemui virus pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong ikan salmon yang diimport.

GREG BAKER/AFP via Getty Images

Setelah wabak itu menular, Beijing dilaporkan telah memperketatkan kawalan, di mana pihak berkuasa difahamkan telah menghapuskan semua produk ikan salmon dalam tempoh semalaman. Selain itu, pembatalan acara sukan diumumkan.

Di samping itu, aktiviti pembelajaran dan kelas pelajar yang sepatutnya dimulakan semula turut ditangguhkan. Makan malam berkumpulan juga dilarang, selain banyak lokasi pelancongan juga ditutup. Di Daerah Fengtai, ‘mekanisme perang’ telah dilancarkan untuk memerangi penularannya.

Menurut laporan media tempatan, sejumlah besar polis bersenjata dan pegawai keselamatan awam telah ditempatkan di Pasar Xinfadi pada 13 Jun, bahkan hotel di sekitar pasar pula telah diminta untuk mengasingkan pekerja.

Lintao Zhang/Getty Images

Selain penutupan sepenuhnya pasar Xinfadi, 11 komuniti sekitarnya berada di bawah pengurusan tertutup, manakala sebilangan besar penduduk di sekitarnya juga telah dikehendaki untuk menjalani ujian asid nukleik.

Pengguna media sosial pula mulai bimbang akan kebarangkalian bahawa Beijing akan menjadi Wuhan kedua, memandangkan data rasmi yang dikeluarkan juga tidak boleh dipercayai. Mereka percaya kes jangkitan virus ini sebenarnya jauh lebih tinggi daripada angka rasmi.

Dan Parti Komunis China telah menyembunyikan fakta wabak tersebut sehingga agak mustahil untuk terus menyembunyikannya melainkan hanya perlu melaporkannya sahaja.

GREG BAKER/AFP via Getty Images

Beberapa netizen juga mendedahkan bahawa warga Hebei telah menolak untuk memasuki Beijing. Begitu juga dengan Tianjin yang mula memeriksa sejarah perjalanan individu sama ada pernah menetap di Beijing ataupun tidak.

Pasar Xinfadi terletak di pinggir bandar Selatan Beijing dan pernah digelar sebagai ‘bakul sayur dan piring buah-buahan’ untuk penduduk tempatan kerana membekalkan lebih 80% bekalan sayuran dan buah-buahan.

Ia juga merupakan lokasi penjualan daging mentah dan makanan laut, di mana daging khinzir menyumbang sekitar 10% daripada jumlah bekalan daging di Beijing. Malangnya, wabak di Beijing telah menular ke Wilayah Liaoning.

Sebanyak dua jangkitan asimtomatik (tidak bergejala) berlaku di wilayah itu pada 12 Jun lalu dan mereka semua merupakan kontak rapat kepada kes yang telah disahkan dan dilaporkan berlaku di Beijing pada hari yang sama.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

loading...