Dalam sebuah operasi Op Samseng Jalanan yang diadakan bermula 12.30 tengah malam hingga 3 pagi pada 8 Jun lalu.

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur mengesahkan bahawa mereka berjaya menahan tujuh orang ‘mat rempit’ yang melakukan pelbagai aksi berbahaya di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Gambar hiasan. Unsplash

Menerusi operasi yang mengambil masa selama dua jam setengah itu, seramai 12 orang anggota polis daripada Unit Risikan Operasi mendapati bahawa tujuh lelaki terbabit yang berusia antara 19 hingga 27 tahun telah melakukan beberapa kesalahan seperti tidak mempunyai lesen motosikal, pengubahsuaian motosikal dan menunggang motosikal dengan berbahaya.

Menurut Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, kesemua lelaki yang ditahan didapati melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal.

“Antara aksi dilakukan mereka adalah meniarap di atas motor atau dikenali sebagai aksi ‘Superman’, bersaing sesama sendiri, melakukan aksi ‘Zig Zag’ serta kejar-mengejar,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Selain daripada itu, beliau turut memaklumkan bahawa tiga daripada lelaki yang ditahan juga didapati tidak mempunyai lesen motosikal dan salah seorang daripada yang ditangkap juga merupakan penjawat awam.

Disamping itu, beliau turut melaporkan bahawa ada antara motosikal yang turut sama disita telah diubahsuai dengan berbahaya seperti tidak dilengkapi dengan cermin sisi, lampu hadapan dan lampu belakang, menggunakan tayar yang lebih kecil, pengubahsuaian enjin untuk meningkatkan kelajuan serta penggunaan eksos yang menghasilkan bunyi yang kuat.

“Semua yang ditahan bersama motosikal mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular