Menggunakan gajet dan menonton televisyen merupakan antara perkara yang digemari oleh semua lapisan umur tidak kira tua mahupun muda.

Hal ini kerana medium ini boleh dijadikan sebagai bahan hiburan bagi menghilangkan tekanan. Namun, tahukah anda betapa buruknya kesan penggunaan televisyen dan gajet terutamanya terhadap golongan kanak-kanak seawal usia dua tahun?

Baru-baru ini, seorang doktor telah berkongsi beberapa fakta penting mengenai kesan negatif yang dialami oleh kanak-kanak sekiranya didedahkan terlalu lama dalam penggunaan gajet.

Menurut @HausofHilton atau Dr Nimelesh, kemahiran membaca, perkembangan bahasa dan ingatan jangka pendek kanak-kanak boleh terjejas jika menggunakan gajet pada waktu yang berlebihan.

Gambar Hiasan/Twitter

Bagi setiap 30 minit penggunaan, risiko untuk kanak-kanak mengalami masalah lambat bercakap akan meningkat sebanyak 49%.

Bukan sahaja itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dengan memilih bahan tontonan yang bersesuaian dan berbentuk pendidikan untuk kanak-kanak yang berusia 18 bulan ke atas.

Misalnya, rancangan Sesame Street. Bagaimanapun, kawalan tetap harus dititikberatkan dan jangan sesekali benarkan mereka menonton televisyen atau menggunakan gajet terlalu lama.

Berikut merupakan saranan tempoh penggunaan gajet atau televisyen yang dibenarkan untuk kanak-kanak:

#1 18 bulan ke bawah

Tidak digalakkan menonton televisyen atau menggunakan gajet. Pengecualian diberikan untuk panggilan video antara keluarga dan rakan-rakan.

#2 18 bulan hingga dua tahun

Hadkan pendedahan dan elakkan penggunaan tanpa pengawasan ibu bapa. Pilih program pendidikan yang berkualiti. Ibu bapa digalakkan untuk menonton bersama anak-anak bagi menggalakkan pemahaman dan pembelajaran yang lebih baik.

#3 Kanak-kanak dua hingga lima tahun

Penggunaan televisyen dan gajet perlu dihadkan kepada satu jam sehari. Ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak bagi menggalakkan pemahaman.

#4 Kanak-kanak enam tahun ke atas

Tetapkan waktu penggunaan dan jenis media yang dibenarkan. Jangan sesekali benarkan anak-anak terlalu fokus pada televisyen dan gajet sehingga mempengaruhi waktu tidur, makan dan sebagainya.

Gambar Hiasan/Twitter

Komunikasi adalah penting dan ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan membacakan buku cerita dan berbual dengan anak bagi meningkatkan penggunaan dan penguasaan kosa kata. “Paling penting, jangan paksa habiskan satu buku. Jadikan ia seronok supaya mereka tak bosan,” kata Dr Nimelesh.

Lebih awal anda dedahkan anak-anak dengan aktiviti membaca buku, lebih cepat mereka akan memiliki kemahiran membaca dan menulis. Semoga perkongsian ini dapat dijadikan sebagai panduan untuk semua ibu bapa.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular