Setiap haiwan memiliki personaliti masing-masing. Ada yang garang, suka bermanja, lincah dan sebagainya. Tidak kira apa jua spesies pun, setiap haiwan memaparkan kecomelan masing-masing dalam cara tertentu.

Misalnya di Beijing baru-baru ini telah tular dengan insiden seekor anjing yang tersekat di antara celahan tempat duduk yang disediakan di sebuah taman. Apa yang menjadikan kisah ini begitu lucu adalah apabila orang ramai memikirkan bagaimana anjing yang berbadan tegap dan gempal ini boleh tersekat di celahan kerusi itu? Badan sahaja besar tapi perangai masih seperti anak anjing yang gemar bermain!

Menurut The Shanghaiist, insiden tersebut mendapat perhatian daripada orang awam yang berada di kawasan kejadian. Sebaik sahaja melihat kesulitan yang dialami oleh anjing baka labrador tersebut, orang ramai mula datang untuk menghulurkan pertolongan bagi membebaskan anjing yang malang ini.

Pada awalnya, pemilik anjing ini sudah mencuba sedaya upaya untuk membebaskan anjing berkenaan namun disebabkan oleh berat badan yang agak ‘menakjubkan’, pemiliknya tidak memiliki daya. Pada ketika itulah, sekumpulan manusia datang membantu.

Dilaporkan seramai lima ke enam orang telah berusaha sedaya upaya selama lebih 10 minit bagi membebaskan anjing itu. Mereka menolak, memusingkan badan anjing dan bermacam-macam cara lagi demi memastikan si anjing dapat bergerak bebas seperti biasa.

Ramai yang mentertawakan anjing ini kerana saiznya yang besar namun perkara ini disangkal sekeras-kerasnya oleh pemilik anjing tersebut. Katanya, kejadian itu berlaku bukan sahaja disebabkan oleh saiz anjing kesayangannya yang besar tetapi juga kelakuannya yang kelam-kabut. Meskipun begitu, anjing ini adalah anjing yang baik dan amat mendengar kata. Malah, anjingnya juga amat menggemari perhatian yang diberikan oleh orang ramai terhadap dirinya ketika kejadian itu berlaku.

Peristiwa yang sungguh melucukan. Semoga kejadian ini tidak lagi berulang di masa hadapan.

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular