Kebelakangan ini, ramai di antara kita yang berpusu-pusu mendapatkan tumbuhan ‘snake plant’ atau lebih dikenali sebagai pokok lidah jin. Ia dipercayai mampu menghilangkan habuk jika diletakkan di dalam kediaman.

Gambar Hiasan | Pexel

Namun menurut Pusat Racun Negara, tumbuhan dengan nama saintifiknya ‘sansevieria trifasciata’ itu sebenarnya mengandungi bahan aktif saponin – sebatian kimia yang terdapat dalam banyak spesies tumbuhan.

Difahamkan bahawa jika termakan dalam kuantiti yang banyak, ia berkemungkinan berupaya mengakibatkan gejala ringan kepada manusia seperti muntah, cirit-birit dan ruam.

Mungkin kesannya tidak seberapa buat manusia namun ia membawa kepada kesan dan gejala yang lebih teruk kepada haiwan peliharaan di dalam rumah khususnya, misalnya terhadap kucing dan anjing.

Gambar Hiasan | Pixabay 

Tanaman tersebut akan menyebabkan air liur haiwan tersebut dihasilkan secara berlebihan, selain ia juga menyebabkan haiwan peliharaan tersebut berasa kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.

Oleh yang demikian, jika anda mempunyai anak kecil dan bayi ataupun anda membela kucing dan anjing di dalam rumah, anda dinasihatkan agar mengambil kira perkara ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Gambar Hiasan | Pixabay

Ini kerana, anak kecil berkemungkinan akan bermain dan cenderung untuk memasukkan semuanya ke dalam mulut mereka. Begitu juga dengan haiwan peliharaan anda yang senantiasa mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi

Mereka berisiko tinggi ekoran terdedah secara langsung dengan bahan aktif tersebut sekali gus mampu menyebabkan keracunan. Selain itu, menurut Public Health Malaysia, tumbuhan itu juga tidak mampu untuk menapis udara seperti yang didakwa.

Semuanya terpulang kepada anda namun dalam keghairahan anda menghias ruang kediaman, berhati-hatilah agar semuanya selamat. Keselamatan harus diutamakan ya!

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular