Krisis politik global sepertinya tiada penghujungnya. Saban hari ada sahaja berita mengenai protes yang berlaku di luar negara. Di negara-negara Amerika Latin contohnya protes dan keganasan sering dilaporkan berlaku.

Puluhan mungkin ratusan nyawa menjadi korban dan perkara tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Di Chile, kejadian protes terhadap kerajaan bukan satu perkara yang baru. Protes antikerajaan yang berlaku sejak tahun lalu seolah-olah tiada pengakhirannya.

Namun, apa yang lebih menyedihkan protes tersebut turut melibatkan haiwan seperti anjing yang terperangkap di dalam huru-hara tersebut.

Mereka juga turut menjadi mangsa kepada gas pemedih mata dan juga menjadi mangsa kepada pelbagai objek seperti batu yang dilemparkan oleh orang ramai kepada pasukan keselamatan.

Protes tersebut memang berlaku antara manusia tetapi tidak ramai yang sedar bahawa ada haiwan yang turut menjadi mangsa di tengah-tengah kekecohan itu.

Oleh kerana sibuk untuk mempertahankan suara dan hak mereka, ramai yang tidak lihat bahawa anjing-anjing ini turut tercedera. Namun begitu, mujur juga ada di antara mereka yang masih bersifat prihatin.

Ada beberapa penunjuk perasaan yang membantu untuk menyelamatkan anjing-anjing yang sedang berada dalam bahaya walaupun mereka tahu perbuatan mereka juga sebenarnya berisiko buat diri mereka sendiri.

Individu-individu inilah yang membawa anjing-anjing itu ke tempat yang lebih selamat, jauh dari keganasan dan protes yang semakin meruncing. Bagi mereka, nyawa anjing juga sama pentingnya seperti nyawa manusia dan anjing-anjing itu perlu diselamatkan tidak kira apa yang berlaku.

Tidak hanya itu, di tengah kemelut itu banyak juga anjing jalanan yang diberikan air, makanan, dan tempat tinggal oleh para penunjuk perasaan sehingga ada yang memperlakukan anjing-anjing ini seperti keluarga sendiri.

“Anjing-anjing ini adalah haiwan yang tidak berdaya, kehidupan mereka juga penting bagi kami,” kata salah seorang penunjuk perasaan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL INSPIRASI Pesona

Video Popular