- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

KPM : Sekolah bakal dibuka semula 24 Jun, hanya babitkan pelajar kelas peperiksaan awam

Setelah lebih kurang tiga bulan ditutup, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan 24 Jun ini sebagai tarikh pembukaan semula sekolah, melibatkan hanya kelas peperiksaan awam.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin ia meliputi pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM),  Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Pembukaan itu difahamkan akan melibatkan keseluruhan 500,444 orang pelajar daripada 2,440 buah sekolah murid kelas peperiksaan awam dan peperiksaan antarabangsa yang setara di seluruh negara.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sementara Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah telah pun diedarkan pada 4 Jun lalu.

“Buat masa ini, pembelajaran di rumah akan diteruskan. Memandangkan guru-guru telah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan yang ada di sekolah”, ujar Mohd Radzi.

Dalam pada itu, bagi pelajar yang tidak sihat dan suhu tubuh melebihi 37.5 darjah Celcius tidak perlu menghadirkan diri ke sekolah apabila sesi persekolahan dibuka semula kelak.

“Apa yang penting kita semua perlu terus patuh kepada arahan dan saranan kerajaan. Sama-sama kita doakan agar keadaan akan pulih sepenuhnya dan semua murid akan dapat kembali ke sekolah”, katanya.

loading...