Pepatah Melayu ada berkata, ukur baju di badan sendiri, menjelaskan kepada kita sekiranya mahu berbelanja perlulah sedar diri sekadar menurut kemampuan. Jangan pula kerana mahu bergaya dan nampak mewah, sanggup menanggung beban di kemudian hari sehingga tidak lagi malu mendedahkan aib sendiri di hadapan rakan-rakan.

Perkongsian seorang pengguna Facebook Dato Norhisham M Nor yang telah memuat naik semula perkongsian seorang netizen bernama Muhammad Hassan lebih setahun yang lalu, boleh dijadikan iktibar buat kita semua pada hari ini, ketika dunia dihimpit masalah pandemik dan semua orang mengalami kesulitan ekonomi.

Rakan hendak pinjam RM8,500.

Facebook / Gambar Hiasan

Termenung saya dalam LRT. Kawan saya hendak sangat sangat jumpa saya di KL. Terdesak sangat katanya. Sampai di KL jumpa saya, belanja saya berbuka. Lepas solat maghrib menangis depan saya merayu sangat hendak pinjam duit RM8,500, hendak bayar kereta tertunggak selama 6 bulan.

Saya terkejut beruk. Barangkali beruk pun terkejut tengok saya terkejut. RM8500 tu… Lagi terkejut baru 2 hari ini tengok kes kereta H hendak kena tarik sebab tidak bayar tunggakan.

Saya kata kepadanya. Merayu keluar air mata darah sekali pun saya tidak mampu hendak beri RM8,500. RM8,500 ini belum tentu dia dapat bayar dan belum tentu boleh selesaikan masalah akan datang. Hendak atau tidak, kena cairkan aset yang dia ada jika hendak selamatkan kereta, atau berbincang dengan pihak bank, dan bukan sorok kereta.

“Kau boros sangat, iPhone tu aku tengok setiap tahun tukar, jam tu brand Tissot belum layak untuk kita bro. Aku dah nasihat banyak kali jangan beli Alphard walaupun gaji 5,6 ribu sebulan. Bila aku halang kau beli, kau cakap aku tak beri semangat,” nasihatnya kepada rakannya ini.

Unsplash/Gambar Hiasan

Beli ikut keperluan bukan untuk menunjuk mewah dan nampak bergaya.

Inilah masalah orang kita, beli kereta ini bukan perlu beri semangat macam hendak lumba lari dalam guni. Alphard itu bukan keperluan. Saya sudah pesan pakai Myvi sahaja dahulu. Saya 3 tahun pakai Myvi baru beli kereta lain, itu pun kerana keperluan dan mampu. Lagi pun dia tinggal di KL yang LRT Kelana Jaya depan mata dia sahaja.

Kita ini hendak pakai apa-apa buat kira-kira terlebih dahulu, sesuai atau tidak dengan pendapatan dan keperluan kita. Ini tidak, tengok orang pakai Alphard, kita pun hendak pakai, orang pakai iPhone kita pun hendak pakai, sanggup berhutang dengan telco janji dapat pakai iPhone. Jika bank susah hendak luluskan pinjaman kenderaan kita sehingga terpaksa guna penjamin, itu bermakna kita tidak layak memiliki kereta.

Beli kereta mewah, sanggup ikat perut.

Unsplash/Gambar Hiasan

Sebenarnya beli kereta ini satu beban jika kita tidak manfaat kereta itu untuk dapatkan pendapatan lain. Kita akan terbeban dengan semua kos terutama petrol, servis, tayar dan kos lain yang kita tak nampak. Lagi sakit jika kereta yang kita beli itu CC tinggi.

Tapi itulah orang kita. Sesetengahnya sanggup ‘ikat perut’ demi hendak pakai kereta yang nampak mewah. Tujuannya satu, nanti balik kampung nampak gah, hendak rasa lebih berbanding adik beradik lain, hendak orang hormat terutama kawan-kawan sekolah dulu. Sedangkan benda itu sekejap dan itulah tanda riak yang merosakkan hati kita. Akhirnya terasa bahang bebanan kita itu adalah anak isteri.

Kesan kepada ahli keluarga.

Mulalah jadi panas baran, marah-marah anak isteri, mula abaikan nafkah anak isteri. Dan paling sedih isteri juga akhirnya terpaksa gadai segala barang kemas demi hendak selamatkan kereta yang tertunggak.

Sebab itulah saya nasihat anak-anak muda sekarang supaya jangan buat apa-apa pinjaman peribadi selagi tiada keperluan. Selagi boleh pakai motor, pergi kerja naik bas, naik LRT redah sahajalah. Janji ada buat simpanan, beli aset terutama rumah. Jika teringin sangat hendak pakai kereta mulakan dengan kereta murah. Dari situ kita akan belajar bagaimana hendak ‘bela’ kereta.

Pixabay/Gambar Hiasan

Betullah pepatah Melayu mengatakan:

‘Ukur baju di badan sendiri’.

Daripada kisah ini, ambillah pengajaran supaya kita tidak lagi membuat sesuatu untuk nampak kaya, tetapi hakikatnya hutang keliling pinggang dan sebagai nasihat buat adik-adik kita yang baru hendak naik itu. Jangan kerana mahukan pujian di media sosial yang hanya beberapa minit, kita sanggup merana selama 9 tahun.

Bagi anda yang mempunyai hati besar tetapi tidak patut, fikir-fikirkan dengan renungan paling dalam…

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular