- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

COVID-19 : Warga New Zealand raikan kemenangan setelah tiada lagi kes aktif

Pada 8 Jun, New Zealand telah meraikan kemenangan mereka dalam memerangi wabak Virus Parti Komunis China (COVID-19) selepas Perdana Menteri, Jacinda Ardern mengumumkan bahawa negara itu tidak lagi memiliki kes aktif.

Berita itu menjadi tajuk utama dunia dan mendapat pujian setelah Ardern mengumumkan pada sebuah sidang akhbar di Wellington bahawa pesakit koronavirus terakhir telah pun pulih dan discaj daripada hospital.

“Saya rasa saya akan meraikan status #COVIDfree kami dan beralih ke # level1 dengan tidur pada pukul 8 malam ini”, tulis Julie Anne Genter selaku Menteri Wanita di laman Twitter, selepas pengumuman itu dibuat.

Hagen Hopkins/Getty Images

Kes koronavirus pertama di New Zealand dilaporkan pada 28 Februari lalu dan pada hari yang sama, negara itu mengumumkan larangan perjalanan untuk Iran dan China bagi mengekang virus tersebut daripada menular.

Pada 23 Mac, Ardern mengumumkan sekatan secara separa namun dua hari kemudian, negara itu mencatatkan peningkatan 200 kes lalu menyebabkan kerajaan terpaksa menutup keseluruhan negara.

Penutupan negara berkenaan merangkumi sekatan pergerakan yang ketat selain hubungan kontak yang terhad untuk menghalang transmisi dan penularan dalam kalangan masyarakat.

Hagen Hopkins/Getty Images

Walaupun orang awam dinasihatkan untuk tinggal di rumah dan tidak dibenarkan keluar kecuali untuk tujuan penting dan melakukan perkara penting, mereka diminta untuk melakukan penjarakan sosial sejauh dua meter.

Kemudian pada 27 April, sekatan yang ketat itu mulai diredakan apabila Wellington membenarkan beberapa perniagaan untuk beroperasi semula dengan langkah berjaga-jaga. Sungguhpun begitu, orang ramai masih dinasihati untuk kekal di rumah.

Kai Schwoerer/Getty Images

Pada 13 Mei, New Zealand semakin melonggarkan sekatan tersebut dengan membenarkan perniagaan, kafe dan restoran dibuka semula. Manakala majlis perkahwinan dan pengebumian juga dibenarkan namun dengan langkah penjarakan sosial.

Kerajaan juga membenarkan kebanyakan perkhidmatan pembelajaran di peringkat awal, sekolah dan kemudahan pengajian tinggi untuk beroperasi semula.

Dan kemudian pada 8 Jun, Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa negara itu tidak lagi mempunyai kes aktif Virus PKC (COVID-19) apabila pesakit terakhir telah pulih sepenuhnya.

“Ini merupakan berita baik dan ia juga merupakan sesuatu yang boleh diambil perhatian oleh semua warga New Zealand”, kata Pengarah Kesihatan, Dr Ashley Bloomfield.

Kemudian, ketika berucap pada sidang media, Ardern mengumumkan peralihan ke kehidupan normal mulai 9 Jun dan penghapusan sekatan kerana negara itu tidak lagi mempunyai kes penularan komuniti yang baru.

Jumlah keseluruhan kes di negara tersebut hanya berjumlah 1,504 dengan 22 kematian.

 *Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

loading...