Menerusi perutusan khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang dilangsungkan pada petang Ahad, 7 Jun, Perdana Menteri Malaysia YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa mulai 10 Jun, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Berita RTM/Facebook

Dalam perutusan ini, beliau turut mengumumkan beberapa kelonggaran yang bakal dilaksanakan mulai Rabu, antaranya adalah seperti kebenaran perjalanan rentas negeri, kebenaran membuka pasar pagi dan malam, kebenaran operasi kedai gunting rambut, kebenaran meraikan Hari Raya Aidiladha dan beberapa kelonggaran lain.

“Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD. Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian.

“Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung,” tambahnya dalam perutusan berkenaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri turut memaklumkan kepada orang ramai bahawa sempadan negara masih lagi ditutup sehingga tamat PKPP iaitu pada 31 Ogos 2020.

Hal ini bermakna bahawa semua penduduk di Malaysia masih belum dibenarkan untuk melancong ke luar negara sehingga tamat tempoh PKPP. 

“Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dahulu kerana sempadan negara kita masih ditutup,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan senarai aktiviti atau sektor yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan PKPP, sila layari laman web Majlis Keselamatan Negara.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular