- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Polis tumpaskan sindiket jual keputusan palsu ujian saringan COVID-19 kepada warganegara asing

KUALA LUMPUR- Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur telah berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan COVID-19 untuk warga asing. Dalam sebuah serbuan yang dijalankan di Jalan Alor, pihak polis telah menahan dua orang pekerja Bangladesh yang didapati menjual hasil pemeriksaan Covid-19 palsu.

Tangkapan tersebut dibuat pada pukul 5.40 petang ketika kedua-duanya berada di kaunter dan sedang menjual hasil ujian palsu Covid-19 yang negatif dengan harga RM50 kepada warganegara asing. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menjelaskan, seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail [1],

“Kaunter yang didirikan di kaki lima di depan kedai di Jalan Alor telah beroperasi selama satu hingga dua minggu, dengan setiap dokumen hasil ujian pemeriksaan Covid-19 dijual dengan harga RM50,”

“Polis mendapati bahawa sewa tapak untuk kaunter tersebut adalah RM600 sebulan dan kaunter beroperasi setiap hari daripada tengah hari hingga jam 9 malam, di mana seorang penjaga akan ditempatkan di kaunter untuk mengendalikan komputer riba semasa berurusan dengan pelanggan. “

Antara barang yang dirampas dalam serbuan itu termasuk beberapa komputer riba, pencetak, laminator, beberapa keping hasil ujian saringan Covid-19 palsu dan wang tunai sebanyak RM1,331.

Tambahan lagi, kedua-dua orang pekerja itu dibayar gaji sekitar RM1500 dan RM1700 sebulan dan operasi itu telah didalangi oleh warga tempatan.

loading...