Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang 5 Jun telah mengumumkan Pelan Pemulihan Jangka Pendek, yang memfokuskan kepada pemulihan semula keadaan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

Dengan tema ‘Bersama Menjana Ekonomi’ melalui PENJANA, beliau mengatakan bahawa kerajaan telah mengenal pasti tiga teras utama untuk memperkasakan rakyat, meningkatkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Tambah beliau, PENJANA juga merupakan strategi pemulihan keempat yang telah diambil oleh pemerintah dalam menghadapi cabaran COVID-19.

Paparan Skrin/YouTube

Justeru, berikut adalah ringkasan dan perincian terhadap perkara yang diketengahkan oleh beliau semasa perutusan berkenaan :

#1 Kerajaan akan mewujudkan pembiayaan mikro Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional bagi pembiayaan sebanyak RM400 juta

#2 Pihak kerajaan akan mengkreditkan sebanyak RM50 ke dalam akaun e-Wallet menerusi ePENJANA kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan di bawah RM10,000 setahun.

#3 Seterusnya, pihak kerajaan juga bersetuju untuk melanjut dan menyeragamkan waktu operasi UTC berkuatkuasa 1 Julai kelak

#4 Untuk perniagaan yang mengalami masalah aliran tunai, kerajaan akan memberi inisiatif cukai dalam pelbagai bentuk

Gambar Hiasan/Facebook

#5 Kerajaan juga menyediakan lebih banyak perkhidmatan dalam talian termasuklah proses mati setem dan e-temuduga biasiswa kerajaan

#6 Kerajaan juga akan melaksanakan program peningkatan kemahiran dalam industri penting seperti elektrik, elektronik dan teknologi maklumat (ICT)

#7 Sejumlah 300,000 orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal yang tersenarai dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bayaran one-off RM300 sebelum Aidiladha.

#8 Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan rangkaian internet 1GB secara percuma kepada semua pengguna setiap hari hingga 31 Disember kelak.

#9 Pas perjalanan bulanan tanpa had (MY30) diperkenalkan bagi mengurangkan kos pengangkutan harian rakyat mulai 15 Jun hingga akhir tahun ini

#10 Kerajaan juga memperkenalkan insentif pengambilan pekerja, di mana syarikat diberi insentif kewangan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia

#11 Kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian 100% duti eksport bagi beberapa komoditi minyak sawit selama enam bulan, bermula 1 Julai ini bagi mendorong semula sektor komoditi di negara ini

#12 Pemberian elaun cukai pelaburan sebanyak 100% bagi tempoh 5 tahun untuk syarikat sedia ada di Malaysia yang memindahkan fasiliti pengilangan luar negara ke negara ini

#13 Kerajaan akan menubuhkan ‘National Technology and Innovation Sandbox’ dalam usaha melengkap proses digitalisasi negara yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan memberi kelonggaran beberapa peraturan untuk menguji cuba teknologi baharu.

#14 Kerajaan memberi pengecualian cukai jualan sebanyak 100% ke atas penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan dan 50% bagi kereta penumpang diimport  bermula 15 Jun ini hingga 31 Disember 2020

#15 Individu yang kehilangan pekerjaan layak menerima elaun latihan sehingga RM4,000 walaupun bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan

Gambar Hiasan/Facebook

#16 Kerajaan juga akan memberikan insentif percukaian dan perlindungan insurans pekerjaan kepada majikan untuk melaksanakan konsep bekerja daripada rumah

#17 Pengecualian terhadap cukai pelancongan sepenuhnya akan diberikan bermula pada 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021

#18 Selain itu, kerajaan juga akan memberi geran kepada pengendali taska untuk patuhi dan laksana prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan.

#19 Kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian duti setem kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi aktiviti percantuman dan pemerolehan untuk transaksi bermula 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021

#20 Kempen Pemilikan Rumah akan diperkenalkan semula bagi merancakkan pasaran hartanah

#21 Kerajaan akan memperuntukkan dana yang digunakan untuk sesi latihan, subsidi dan bantuan penjualan yang diterajui oleh MDEC bersama platform e-dagang yang terpilih

#22 Sejumlah RM500 juta akan disediakan di bawah SME Technological Transformation Fund sebagai pinjaman mudah

#23 Geran Padanan Digital akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

#24 Bagi PKS dan syarikat pertengahan (mid-tier company), kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman kepada syarikat yang layak

Gambar Hiasan/Facebook

#25 Insentif cukai dalam pelbagai bentuk perbelanjaan operasi dalam kebiasaan baharu seperti kos sut pelindungan diri (PPE) dan ujian saringan akan disalurkan kepada pengusaha syarikat.

#26 Bagi mendorong perusahaan mikro dan PKS menggunakan khidmat digital, kerajaan bersama pihak swasta akan membiayai usaha tersebut melalui geran padanan bernilai RM140 juta.

#27 Tambahan sebanyak RM2 bilion untuk dana Penjana PKS, di mana nilai maksimum adalah sebanyak RM500,000 untuk setiap PKS

#28 Kerajaan juga memperkenalkan kempen ‘Shop Malaysia Online’, bagi menggalakkan perbelanjaan dalam talian melalui platform e-dagang

Dalam pada itu, beliau tanpa berselindung turut menjelaskan keadaan sebenar ekonomi negara yang menghadapi cabaran getir ekoran pandemik COVID-19, yang akan dijangka menguncup pada suku kedua tahun ini.

Walau bagaimanapun, beliau sempat menzahirkan kesyukuran kerana kes jangkitan wabak tersebut masih lagi terkawal. Langkah kerajaan dengan disiplin daripada rakyat menurutnya berjaya membendung 80% penularan COVID-19.

“Nasihat saya, amalkan penjarakan sosial walau dimana anda berada. Ia mungkin pelindungan atau benteng terakhir untuk saudara-saudari daripada dijangkiti ancaman tersebut”, katanya.

Beliau turut berkata bahawa lebih banyak sektor akan dibuka jika SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terus dipatuhi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES NASIONAL

Video Popular