Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa, Taman Kinabalu tidak akan mengadakan upacara memperingati ulang tahun kelima gempa bumi Ranau, Sabah secara terbuka.

Gempa bumi yang melanda Sabah pada 5 Jun 2015 mengorbankan 18 orang pendaki Gunung Kinabalu. Setahun kemudian, sebuah monumen bencana dilancarkan di platform Kiau View, Taman Kinabalu, di samping upacara memperingati mangsa diadakan setiap tahun pada 5 Jun.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), upacara pada tahun ini dilakukan secara tertutup oleh Taman-Taman Sabah dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah.

Kinabalu Park/Facebook

Pengerusi Malim Gunung Kinabalu, Danson Bulangai berkata, acara memperingati mangsa dan rakan malim gunung yang terkorban untuk tahun kelima kali ini hanya melibatkan orang tertentu sahaja berikutan ancaman pandemik COVID-19.

Di samping itu, halaman Facebook Taman Kinabalu tidak mengumumkan secara terperinci ulang tahun ke-5 gempa bumi Ranau. Ia hanya mengubah halaman depan dengan paparan hitam putih berlatar belakang Gunung Kinabalu.

“Upacara memperingati mangsa tragedi gempa bumi ini sentiasa menjadi memori yang menyedihkan buat kami semua. Disebabkan oleh PKPB, upacara tahun ini tidak melibatkan orang yang terlalu ramai. Malah simulasi mencari dan menyelamat juga tidak akan diadakan pada kali ini,” jelas Danson.

Pada 5 Jun 2015, tepat jam 7.15 pagi, daerah Ranau dan Gunung Kinabalu dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 5.9 skala richter, yang berlanjutan dalam masa 15 hingga 25 saat. Pusat gempa yang terletak kira-kira 16 kilometer di barat laut Ranau telah menyebabkan kawasan sekitar Gunung Kinabalu paling terjejas teruk, yang mana turut dirasakan di Kundasang sehingga Kota Kinabalu.

Kinabalu Park/Facebook

Tragedi gempa bumi tersebut telah menyebabkan lebih 100 pendaki dan malim gunung di Gunung Kinabalu terkandas, cedera dan hilang serta merosakkan banyak bangunan serta harta benda di kawasan terjejas.

Mangsa yang terkorban adalah 10 rakyat Singapura, 6 rakyat Malaysia, seorang dari China dan Jepun, yang mana termasuk 2 malim gunung dan pelajar-pelajar dari Singapura berusia 12 tahun.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular