- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Ratusan telur penyu ditemui di pantai Malaysia ketika tiada pengunjung ekoran PKP

Tahap pencemaran udara juga telah menurun secara drastik di beberapa bandar terbesar di dunia dan beberapa sungai di Malaysia hidup kembali dengan air yang jauh lebih bersih daripada sebelumnya.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dilaporkan terdapat peningkatan jumlah penyu yang kembali ke pantai di seluruh dunia termasuk ke Malaysia seperti yang berlaku di Port Dickson baru-baru ini.

Unsplash [1]/Gambar Hiasan

Pada awal bulan Mei, Pejabat Perikanan Negeri Sembilan berkongsi di Facebook melaporkan bahawa beratus-ratus telur penyu ditemui di dua lokasi berbeza di daerah berkenaan.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip menjelaskan kepada New Straits Times bahawa pihak mereka telah berjaya menemui 118 telur penyu hijau dan 110 lagi dari spesies belum dikenal pasti.

Mereka kemudian membawa kesemua telur penyu tersebut ke Pusat Ikan Hiasan bagi proses inkubasi dan pemuliharaan.

“Penyu pernah mendarat untuk bertelur di pantai Port Dickson sebelum ini, tetapi ia jarang sekali berlaku kerana pendaratan reptilia laut ini biasanya terhalang ekoran pembangunan pesat dan cahaya yang terang,” kata Halimi.

Namun, sejak pelaksanaan PKP dan PKPB, tiada pengunjung atau pelancong yang datang ke Port Dickson yang memungkinkan penyu laut kembali ke pantai.

Pantai-pantai kosong di Melaka juga mengalami trend yang sama.

Menurut Harian Metro, Jabatan Perikanan Melaka merekodkan 4 pendaratan penyu pada bulan Januari, 12 lagi pada bulan Februari, dan sejumlah 28 ekor penyu pada bulan Mac.

Pixabay [2]/Gambar Hiasan

Dan sejak beberapa bulan kebelakangan ini, turut menyaksikan peningkatan drastik dengan 49 pendaratan penyu dicatat pada bulan April dan 82 pada bulan Mei.

“Syukurlah, PKP dan PKPB telah mengurangkan aktiviti manusia yang telah mendorong penyu bertelur dengan aman di pantai kami, terutama di 13 lokasi pendaratan penyu utama di sepanjang pantai barat Melaka,” kata Nawar Abdul Karim, merangkap Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Melaka.

Pixabay [2]/Gambar Hiasan

Beberapa kawasan yang menjadi tumpuan pendaratan penyu di Melaka termasuk Kampung Baru, Kampung Tengah, Tanjung Serai, dan Telok Gong.

Nawar Abdul Karim menambah bahawa 264 anak penyu baru dilepaskan ke laut setelah 60 hari proses inkubasi (pengeraman) di Pusat Maklumat Penyu Melaka.

loading...