Apa benda yang muncul di dalam fikiran apabila anda mendengar perkataan rama-rama? Pasti ramai yang mula membayangkan kecantikan warnanya. Ada juga yang membayangkan melihat serangga itu terbang dan hinggap di bunga.
Tidak kira apa pun, tetapi sudah tentu ramai yang setuju jika dikatakan rama-rama adalah antara serangga yang cantik dan indah. Terdapat pelbagai spesies rama-rama di dunia dan antara rama-rama paling cantik ialah Rosy Maple Moth.
Spesies ini dikatakan banyak dijumpai di kawasan antara timur Amerika dan utara Kanada. Tidak hanya itu, rama-rama cantik ini juga boleh dilihat di sepanjang pantai Atlantik Amerika Utara hingga Dade County, Florida, Texas timur hingga Minnesota.
Tahu kenapa spesies ini sering dikatakan rama-rama paling cantik? Lihat sahaja warnanya yang terang pasti anda tidak akan jemu untuk terus menatapnya.
Dengan keindahan warna merah jambu dan kuning semestinya membuatkan ramai yang setuju jika dikatakan spesies ini sangat comel. Rosy Maple Moth juga unik kerana mereka sering bertenggek di atas pokok maple dan memakan daun maple. Kadang-kadang mereka juga dapat dilihat di pohon oak.
Kedua-dua jantina rama-rama mempunyai sayap selebar 32-55 mm. Tubuh mereka berbulu dan biasanya berwarna kuning di bahagian atas dan merah jambu di bahagian bawah. Selain itu, kaki dan sesungut mereka juga berwarna merah jambu.
Bayangkan pula jika tiba-tiba muncul rama-rama ini di hadapan anda? Ya, kedengaran seperti mustahil kerana kita di Malaysia namun mana tahu kalau ada seekor atau dua yang terbang jauh sehingga tersesat hingga ke sini kan?
Maybe you're interested :