Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka, sejak kecil lagi mereka cuba melakukan apa sahaja buat anak kesayangan mereka. Kesemua yang diberikan pastinya terbaik supaya si kecil mereka dapat membesar dengan sihat, cergas dan sempurna.

Pemakanan anak-anak adalah salah satu perkara yang paling ditekankan oleh setiap ibu bapa. Pastinya mereka mahukan anak-anak mendapatkan khasiat yang mencukupi.

Namun, perlu diingatkan bahawa sesuatu yang baik untuk orang dewasa tidak semestinya baik juga untuk anak kecil. Contohnya pengambilan air masak.

Jika kita dewasa memang sangat digalakkan untuk minum air masak namun tahukah anda bahawa air masak sangat tidak sesuai buat anak kecil kurang daripada 6 bulan?

Bukan hanya air masak malah semua minuman atau cecair selain susu ibu dan susu formula bayi adalah tidak boleh diberikan kepada anak kecil kurang daripada 6 bulan.

Gambar Hiasan/Pexels

Perkara ini telah diterangkan secara terperinci oleh seorang doktor kanak-kanak dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Dr Ahmad Luqman Bukhari melalui akaun Facebook miliknya. Dr Luqman telah memberikan alasan-alasan mengapa anak kecil tidak boleh diberikan selain susu ibu dan susu formula.

Berikut adalah sebab-sebabnya:

  • Bayi di bawah enam bulan tidak mempunyai sistem buah pinggang yang matang untuk memproses cecair yang terlalu banyak dalam badan.
  • Membuatkan bayi enggan minum susu formula atau susu ibu.
  • Air tidak mengandungi kalori untuk mengisi perut bayi.

Selain itu, Dr Luqman juga menerangkan mengenai gejala yang sering dihadapi oleh bayi jika mereka terlebih diberikan minuman antaranya ialah muntah, mengantuk, tubuh sering dalam kelesuan, suhu badan rendah, mempunyai peluh yang melampau serta jumlah kencing berlebihan.

Gambar Hiasan/Pixabay

Tambahan lagi, terdapat juga kes-kes yang lebih serius apabila tubuh dan muka bayi menjadi bengkak. Tidak hanya itu, keadaan boleh menjadi lebih teruk apabila otak bayi juga boleh membengkak yang boleh membawa kepada risiko kematian.

Jadi, buat ibu bapa di luar sana jangan sesekali berikan air selain susu buat anak kecil anda walaupun hanya air masak. Air masak memang bagus tetapi bukan untuk anak kecil!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular