Kartun dan kanak-kanak memang tidak boleh dipisahkan. Itulah hiburan mereka sepanjang masa dan kadangkala hari mereka tidak sempurna tanpa menonton kartun.

Namun, pernahkah anda perasan yang mereka sering menonton kartun yang sama? Mungkin ramai yang sedar bahawa anak kecil suka menonton kartun berulang kali bahkan mereka tidak pernah berasa jemu atau bosan.

Tambahan lagi, mereka bahkan tetap teruja walaupun menonton kartun yang sama setiap masa. Berikut adalah sebab mengapa si kecil suka menonton kartun berkali-kali:

Proses pengulangan bolehkan anak kecil belajar sesuatu.

Gambar Hiasan/Facebook

Kecerdasan sebenarnya menentukan kemampuan seseorang untuk belajar. Oleh itu, ketika anak-anak melakukan sesuatu berulang kali, mereka sebenarnya mempraktikkan proses pembelajaran.

Melalui proses pengulangan, mereka dapat belajar, mengingat dan memahami perkara baru. Usia yang masih kecil membuatkan mereka lebih perlu untuk mengulangi sesuatu.

Selain itu, pengulangan melalui kata-kata atau verbal sebenarnya juga adalah penting. Contohnya ibu bapa yang membacakan buku cerita kepada mereka. Cerita yang disampaikan mungkin sama tetapi cara si kecil mentafsir cerita adalah berbeza setiap kali mereka mendengar cerita tersebut.

Contohnya, kali pertama mereka mendengar mereka akan fokus kepada logik cerita tersebut. Kali kedua mereka mendengar cerita yang sama otak mereka akan fokus dengan konsep cerita dan perkara tersebut berulang-ulang kali dilakukan kanak-kanak.

Bayangkan, dalam satu cerita yang sama mereka boleh melihatnya daripada pelbagai sudut berbeza. Ringkasnya, kaedah pengulangan adalah kaedah penting untuk membolehkan berlakunya perkembangan deria, pemikiran dan intelektual kanak-kanak.

Mengulangi dapat membuatkan kanak-kanak berasa selamat.

Gambar Hiasan/Facebook

Penyelidikan psikologi telah menunjukkan bahawa sebelum seseorang memperolehi konsep atau idea mereka perlu melakukan proses pengulangan supaya emosi mereka terbiasa dan selesa. Hal ini sama seperti kanak-kanak yang perlu melihat atau melakukan sesuatu berulang kali supaya mereka mendapatkan keselesaan.

Jika mereka mula selesa dengan sesuatu mereka akan mula berasa lebih selamat dan semua yang berlaku di sekeliling mereka adalah sesuatu yang di bawah kawalan mereka. Dalaman mereka akan berasa lebih selamat dan perkara ini membantu anak kecil untuk berosial dan bergaul dengan lebih baik.

Proses pengulangan diperlukan dalam dunia dalaman kanak-kanak.

chiyidavip

Kepentingan proses pengulangan tidak boleh dipandang remeh terutama dalam perkembangan anak-anak. Sebagai contoh, kanak-kanak selalu membina blok menggunakan lego atau mereka yang berulang kali membaca halaman buku cerita yang sama, berulang kali menonton kartun yang sama dan lain-lain.

Semuanya membuktikan bahawa proeses pengulangan memainkan peranan dalam perkembangan kognitif kanak-kanak. Dalam proses menonton kartun berulang kali, kanak-kanak akan memahami kisah yang mereka tonton itu daripada pelbagai sudut contohnya adegan dan logik.

Mereka kemudiannya akan menerapkan apa yang mereka belajar di dalam cerita baru yang mereka tonton dan dalam psikologi perkara ini disebut sebagai “pengulangan kreatif”.

Ini bermaksud apabila anak melakukan perkara yang sama berulang kali, sesuatu yang baru dan kreatif akan muncul daripada fikiran mereka. Jadi, biarkan mereka menonton berulang kali kerana daripada situlah mereka menjana idea, buah fikiran dan kreativiti.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular