Antara perkara penting yang sering menjadi tanda tanya ibu bapa ialah mengenai usia yang paling sesuai untuk anak kecil mereka berhenti daripada menggunakan lampin.

Setiap kanak-kanak pastinya berbeza umur mereka ketika mereka berhenti memakai lampin. Ada yang cepat dan ada juga memakan masa bertahun. Jadi, sebagai ibu bapa anda perlu tahu umur yang sesuai untuk anak anda mula berdikari ke tandas sendiri.

Sebelum berumur 1 tahun 

Cuba gunakan lampin sebanyak mungkin, supaya bayi anda dapat membuang air kecil dan buang air besar sebanyak mana yang dia perlukan. Hal ini dapat meringankan beban psikologi serta membolehkan mereka tidur lena.

Selepas berumur 1 tahun setengah atau 2 tahun

Sebilangan besar bayi perlu menunggu sehingga 18-24 bulan untuk otot mereka boleh mengawal sistem supaya menjadi matang. Pada masa ini, anda boleh elakkan daripada memakaikan anak kecil lampin pada siang hari dan mula melatih mereka membuang air di tandas.

Walau bagaimanapun ketika ini mereka masih memerlukan lampin pada waktu malam. Jika mereka sudah boleh mengawal untuk membuang air pada waktu malam barulah anda boleh untuk tidak memakaikan mereka lampin. Itupun perlu dilakukan secara berperingkat.

Gambar Hiasan/Photo-AC

Berikut adalah langkah yang boleh dilakukan untuk membantu anak kecil supaya berhenti daripada memakai lampin:

Secara amnya, kanak-kanak mula dapat menzahirkan apa yang mereka rasa seawal usia satu setengah hingga dua tahun.

Jika mereka tidak selesa dengan lampin mereka akan memberitahu ibu bapa mereka dan apa yang perlu dilakukan ibu bapa ialah mula membantu mereka berhenti memakai lampin secara perlahan-lahan pada siang hari.

Apabila anak kecil mula tidak menggunakan lampin, ibu bapa harus mengingatkan mereka berulang kali supaya memberitahu orang dewasa jika mereka mahu membuang air.

Namun jika mereka gagal melakukannya ibu bapa jangan marah akan anak kecil mereka bahkan terus mengajar mereka secara perlahan-lahan dan terus bersabar membimbing mereka kerana si kecil masih perlukan latihan.

Apabila si kecil terbuang air di dalam seluar mereka segera ganti seluar mereka. Bersabarlah dan ingatkan mereka sekali lagi bahawa lain kali mereka perlu pergi ke tandas.

Anak kecil perlu terus diberikan galakan dan teguran. Jangan marah apatah lagi memukul mereka kerana apa yang sedang mereka hadapi bukanlah sesuatu yang mudah buat mereka.

Mereka tidak akan boleh melakukan semua itu dalam sekelip mata malah mereka perlukan latihan dan masa.

Gambar Hiasan/Pixabay

Apabila anak kecil bersedia untuk ke tandas sendiri, ibu bapa sudah boleh menyediakan tandas kecil buat mereka dan meletakkannya di tempat yang tetap.

Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu bertanya kepada si kecil jika mereka ingin membuang air dan bawa mereka ke tandas jika perlu. Rutin ini akan membuatkan mereka tahu apa yang perlu dilakukan jika mereka merasakan ingin membuang air.

Selain itu, ibu bapa boleh memerhatikan bila masanya untuk anak mereka membuang air. Biasanya anak kecil akan buang air sebaik sahaja merka bangun tidur. Jadi, ketika itulah ibu bapa boleh mengajar mereka untuk menggunakan tandas ketika itu.

Jika waktu mereka membuang air tidak menentu ibu bapa boleh meminta mereka untuk ke tandas pada setiap dua jam atau bila-bila masa yang dirasakan sesuai.

Selain itu, ibu bapa sudah boleh menjadikan adik-beradik yang lain sebagai contoh yang boleh diikuti. Misalnya, katakan kepada si kecil bahawa kakak atau abangnya tidak lagi menggunakan lampin dan mereka boleh ke tandas dengan sendiri.

Oleh itu, si adik juga perlu mengikuti apa yang dilakukan oleh abang dan kakaknya dengan menggunakan tandas bukan lagi lampin.

5 isyarat bahawa kanak-kanak sudah bersedia untuk tidak memakai lampin pada waktu malam

1. Kanak-kanak sudah berumur 3-4 tahun;

2. Lampin mereka sering kering pada siang hari dan mereka dapat mengawal diri daripada membuang air kecil atau besar. Mereka juga sudah boleh menggunakan tandas sendiri atau memberitahu orang dewasa jika mereka mahu membuang air;

3. Perlu masa yang lama untuk tidak memakai lampin pada waktu siang, lebih kurang 6-12 bulan;

4. Semasa bangun tidur, lampin mereka selalu kering;

5. Si kecil enggan memakai lampin, walaupun pada waktu malam mereka mula tidak suka memakai atau mereka sendiri yang meminta untuk tidak dipakaikan lampin.

Gambar Hiasan/Pixabay

Biasanya anak kecil tidak dapat menahan untuk membuang air pada waktu malam dan mereka hanya boleh melakukannya sekitar usia 3 hingga 6 tahun. Jadi, ibu bapa perlu peka dengan masa mereka untuk membuang air terutamanya pada waktu malam.

Sekiranya lampin mereka kering selama satu malam, ibu bapa mungkin sudah boleh untuk mempertimbangkan supaya anak kecil mereka tidak memakai lampin pada waktu malam.

Namun, jika mereka masih belum bersedia biarkan mereka memakai lampin pada waktu malam. Latihan tandas pada sebelah malam lebih sukar dan memerlukan ibu bapa untuk lebih bersabar.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP Keluarga

Video Popular