Secara ringkasnya, menabung dapat diertikan sebagai amalan menyimpan sebahagian wang untuk digunakan pada masa hadapan ataupun ketika kecemasan. Adalah penting untuk kita sentiasa bersedia, bukan?

Oleh yang demikian, amalan mulia ini seeloknya dipupuk semenjak di usia yang muda. Bak kata pepatah, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Hasilnya agak memakan masa namun ianya amat berbaloi.

Itulah yang dilakukan oleh seorang pengguna Twitter, @ainmir4 bersama keluarganya, di mana mereka mendedikasikan setiap duit syiling yang ada untuk disimpan di dalam ‘tabung’ sehinggalah tabung mereka itu penuh.

Untuk memastikan tiada siapa di antara ahli keluarganya itu mengeluarkan duit secara bersembunyi maka mereka memutuskan untuk menggunakan tabung yang lain daripada yang lain – iaitu tong gas bersaiz kecil!

Jika ada sahaja baki duit syiling maka mereka dengan mudahnya akan memasukkan ia ke dalam tabung tong gas berkenaan dengan harapan ianya dapat membantu mereka jika menghadapi hari-hari yang sukar kelak.

@ainmir4/Twitter

Sesudah tabung itu penuh dan tidak muat lagi untuk menyimpan duit syiling maka mereka sekeluarga memutuskan untuk membuka dan mengetahui sebanyak masa simpanan tabungan tong gas mereka selama ini.

Hasil simpanan selama 5 tahun, mereka sekeluarga berjaya menyimpan sebanyak RM2,500. Sungguh banyak duit syiling sehinggakan ianya terpaksa dimasukkan ke dalam 10 helai beg plastik! Memang banyak betul..

@ainmir4/Twitter

Menurut Ain, jika diikutkan rancangan asal, duit itu mahu digunakan untuk mereka sekeluarga pergi bercuti namun memandangkan situasi semasa sekarang ini maka wang itu akan disimpan untuk kegunaan masa akan datang.

Sesungguhnya menabung adalah satu praktis yang sangat bermanfaat kepada kita. Ia dapat mengajar kita berjimat cermat, bersabar dan berdisiplin. Oleh itu, jangan berlengah lagi. Mulakan menabung daripada sekarang ya!

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular