Umumnya, suhu badan adalah ukuran kemampuan tubuh anda untuk menghasilkan dan menghilangkan haba atau kepanasan. Tubuh manusia berkebolehan untuk menjaga suhu dalam lingkungan yang selamat, walaupun suhu di persekitaran berubah.

Apabila tubuh terlalu panas, saluran darah di kulit akan melebar untuk membawa lebihan haba ke permukaan kulit anda. Anda mungkin mula berpeluh. Semasa peluh tersejat di udara, ia membantu menyejukkan badan anda.

Semasa tubuh sejuk pula, saluran darah menjadi sempit. Keadaan ini akan mengurangkan aliran darah ke kulit anda untuk menjimatkan haba tubuh. Anda mungkin mula menggigil. Apabila otot-otot gementar dengan cara ini, ia akan membantu meningkatkan tahap haba.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, suhu tubuh manusia normal adalah di antara 36.0°C sehinggalah 37.5°C. Jika suhu tubuh melebihi daripada ukuran tersebut maka anda dikira demam.

Namun harus diingatkan bahawa suhu normal tubuh juga boleh berubah sebanyak 0.6 °C pada waktu siang. Selain itu, suhu tubuh juga agak sensitif dengan tahap hormon. Justeru, suhu tubuh wanita yang mengalami ovulasi agak berbeza – sama ada lebih tinggi atau lebih rendah.

Untuk majoriti orang dewasa, suhu tubuh apabila mengalami demam adalah 38°C jika diukur menerusi kaedah ukuran suhu oral di dalam mulut. Jika dikira pada rektum atau telinga pula, suhu demam adalah 38.3°C.

Bagi golongan kanak-kanak, mereka akan mengalami demam setelah suhu tubuh mereka mencapai ukuran 38°C ataupun lebih tinggi daripada itu.

Sekiranya suhu tubuh adalah lebih rendah daripada apa yang telah dinyatakan di atas, ia membawa maksud bahawa tubuh anda mengalami hipotermia atau suhu badan yang rendah. Ia lazimnya berlaku ketika cuaca sejuk.

Jika berlaku gejala lain seperti menggigil, gegaran, masalah pernafasan atau kekeliruan maka ia mungkin merupakan tanda kepada penyakit yang lebih serius. Jangan berlengah dan segera berjumpa pakar.

Jika tubuh anda mencatatkan suhu yang tinggi, ini bermakna bahawa tubuh anda sedang mengalami strok haba ataupun suhu badan yang tinggi. Keadaan ini berlaku apabila tubuh gagal mengawal suhu sendiri.

Gambar hiasan/Pexels

Gejala serangan haba atau kepanas ini termasuklah perubatan mental seperti kekeliruan, kecelaruan atau tidak sedar, kulit berubah menjadi kemerahan, panas dan kering (walaupun kulit di bawah ketiak).

Keadaan ini boleh membawa maut dan memerlukan rawatan segera memandangkan ia menyebabkan dehidrasi teruk dan boleh menyebabkan organ-organ penting di dalam tubuh untuk berhenti daripada berfungsi.

Oleh yang demikian, anda seharusnya sentiasa peka terhadap perubahan suhu badan anda ataupun anak-anak yang masih kecil bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk. Apa yang penting, segera berjumpa doktor jika berasa tidak sihat.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular