- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Gagal kembali bertugas di pejabat, pekerja swasta berhadapan dengan tindakan dibuang kerja

Pekerja swasta yang terperangkap di kampung kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh dibuang kerja jika tidak kembali bertugas ke pejabat selama lebih 2 hari berturut-turut.

Menurut Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, tindakan tersebut boleh dilakukan selaras dengan peruntukan Seksyen 15(2) Akta Kerja 1955.

Datuk Shamsuddin Bardan/Facebook [1]

Di mana ia memperuntukkan individu yang bekerja dianggap telah melanggar kontrak perkhidmatan jika tidak hadir bekerja selama lebih 2 hari berturut-turut tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada majikan.

“Kalau pekerja tidak dapat cuti dan terperangkap di kampung, majikan boleh menamatkan perkhidmatan mereka berdasarkan ketidakpatuhan terhadap kontrak perkhidmatan”, jelas beliau.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri pada 23 Mei memaklumkan terdapat 14 kompaun yang dikeluarkan terhadap individu yang didapati melanggar PKPB dan pulang ke kampung untuk berhari raya tanpa kebenaran.

Gambar Hiasan/Facebook [2]

Pada malam 23 Mei lalu, sejumlah 1,158 buah kenderaan diarahkan untuk berpatah balik di 162 buah sekatan jalan raya di semua negeri di seluruh negara.

Sementara baki 156,206 buah kenderaan lagi dibenarkan untuk melepasi sekatan jalan raya setelah mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Kerajaan sudah memberi amaran bahawa individu yang meloloskan diri daripada sekatan jalan raya untuk pulang ke kampung untuk berhari raya, tidak akan terlepas dan pihak polis akan mengesan mereka.

Umum sudah mengetahui bahawa kerajaan memantau ketat pergerakan rakyat yang merentas negeri dan pekerja menanggung sendiri risiko jika terperangkap ekoran melanggar peraturan kerajaan.

Shamsuddin juga berkata bahawa pekerja perlu merayu sendiri kepada pihak kerajaan untuk dibenarkan pulang semula ke bandar jika mahu kembali bekerja tanpa membabitkan pihak majikan.

loading...