Walaupun kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang jelas melarang perhimpunan di sesuatu kawasan, namun satu laporan menyatakan bahawa berlakunya upacara majlis perkahwinan yang berlangsung di sebuah kuil di Seri Kembangan, Selangor.

Malaysia Gazette TV/YouTube

Majlis yang berlangsung pada 24 Mei kira-kira jam 8 pagi sehingga jam 11 pagi itu telah dilaporkan oleh seorang individu yang kebetulan melintasi kawasan kuil berkenaan dan mengesyaki bahawa sebuah majlis sedang dilangsungkan kerana terlalu banyak kenderaan diletakkan berdekatan kuil serta ramai pengunjung kuil didapati memakai pakaian tradisional.

Menurut laporan oleh laman Malaysia Gazette, majlis perkahwinan berkenaan turut dihadiri oleh kanak-kanak dan warga emas yang keluar dan masuk dari pintu kedua kuil dengan sesuka hati. Selain itu, laporan juga menyatakan bahawa tiada penjarakan sosial diamalkan dalam majlis berkenaan.

Sehubungan laporan dan sebuah video yang tular di media sosial berkenaan majlis perkahwinan itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan telah mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa satu kertas siasatan berhubung perhimpunan berkenaan telah dibuka.

Hasil siasatan polis juga mendapati bahawa pihak pengurusan kuil telah mengakui bahawa memang berlakunya majlis perkahwinan di kuil itu pada hari yang dinyatakan walaupun sebelumnya mereka menafikan perkara berkenaan.

Tambah beliau lagi, majlis itu telah dihadiri oleh kira-kira 20 hingga 30 orang individu dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular