Kisah tentang nilai kesetiaan yang dimiliki oleh anjing peliharaan bukanlah suatu rahsia lagi. Sehingga kini, sudah banyak kali kita mendengar kisah menyayat hati tentang anjing peliharaan yang masih menunggu pemiliknya ‘pulang’ walaupun sebenarnya pemiliknya sudah meninggal dunia.

Dan, kisah pada kali ini adalah tentang seekor anjing, umurnya kira-kira 5 ke 6 tahun, yang setia menunggu pemiliknya pulang selepas pemiliknya pergi ke hospital di Wuhan, Wilayah Hubei, China selepas mendapat simptom jangkitan Virus Parti Komunis China (COVID-19) pada bulan Februari yang lalu.

Tanpa anjing itu ketahui, pemiliknya yang sudah tua sebenarnya telah meninggal dunia setelah pergi ke hospital berkenaan. Namun walaupun sudah berbulan lamanya, anjing itu masih menunggu kepulangan pemiliknya di hadapan kedai serbaneka hospital berkenaan dan telah diberi makan oleh pemilik kedai serbaneka itu sepanjang keberadaannya di situ.

Pemilik kedai serbaneka, Wu Cuifen menyatakan bahawa anjing yang dinamakan “Xiaobao” itu tidak mahu pergi dari kedai itu.

“Kadang-kala apabila saya keluar, anjing itu akan berbaring di pintu untuk membantu saya menjaga kedai, atau duduk di pintu untuk mengawal, lagaknya seperti membantu saya menjaga kedai.”

Ramai pekerja dan pesakit di hospital telah mengetahui tentang kisah sayu Xiaobao, dan ada yang mengatakannya sebagai “versi sebenar Hachiko”, si anjing yang setia. Wu Cuifen juga ada menyatakan hasratnya untuk mencari rumah baharu untuk Xiaobao, namun menurutnya, anjing itu tidak mahu ikut kami, apabila dihantar jauh di jalanan, anjing itu tetap kembali semula dengan sendirinya.”

Walaupun Xiaobao tidak boleh bersuara atau menunjukkan perasaannya, namun Wu Cuifen sangat memahami bahawa Xiaobao “masih mencari pemiliknya” kerana Xiaobao seringkali menghidu bau para pelanggannya yang datang ke kedai serbaneka itu.

Memang menyayat hati sungguh.

Tetapi akhirnya, Wu Cuifen terpaksa memutuskan untuk menghubungi Persatuan Perlindungan Haiwan Kecil Wuhan untuk mengambil Xiaobao dan memberikannya rumah baharu. Hal ini terpaksa dilakukan setelah jadual operasi hospital telah kembali normal, kebimbangan masalah kesihatan dan beberapa pelanggannya yang takut dengan anjing.

Tambah Wu Cuifen, semasa wakil persatuan datang untuk mengambil Xiaobao, mereka terpaksa menghabiskan masa selama 30 minit untuk bermain dan memujuk Xiobao kerana pada mulanya Xiaobao menunjukkan rasa takut. Tetapi, syukurlah akhirnya rancangan mereka untuk memberi kehidupan baharu kepada Xiaobao telah berjaya.

Diharapkan kini Xiaobao telah menemui keluarga baharu yang menyayanginya sama seperti pemilik lamanya. 

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular