KUALA LUMPUR – Lebih kurang 360 orang gelandangan di sekitar ibu negara yang diselamatkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dilaporkan akan menerima kursus dan latihan serta motivasi bagi memulakan pekerjaan selepas Hari Raya ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, sebanyak 300 orang akan menjalani kursus berkenaan di Sepang selama sebulan manakala 60 orang lagi akan dihantar ke pusat latihan di Kuantan selama 3 bulan dengan kos ditanggung Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

MOHD RASFAN/AFP via Getty Images

KWP mendapati bahawa 60 daripada mereka itu mengalami sedikit masalah membabitkan penyalahgunaan dadah dalam sejarah kehidupan mereka sebelum ini dan kini sudah sihat serta mahu bekerja. Oleh itu, mereka memerlukan pemulihan jangka panjang dan dihantar kursus ke Kuantan.

Untuk 300 orang lagi, mereka pula belum biasa hidup berjadual dan berdisiplin. Oleh itu mereka memerlukan satu proses latihan memandangkan mereka miliki potensi namun tidak belum dapat dizahirkan lagi.

Tambah Tan Sri Annuar Musa, KWP akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pakar psikologi, kaunseling dan pihak kesihatan untuk memberikan latihan sistematik sebagai persediaan mereka untuk menghadapi suasana pekerjaan yang memerlukan disiplin dan kesungguhan.

MOHD RASFAN/AFP via Getty Images

“Ini memakan kos sekitar RM3.4 juta kerana terpaksa sewa tempat, beri makan dan peralatan kemudahan kursus. Saya rasakan penyelesaian masalah gelandangan tak boleh dibuat secara sedikit demi sedikit. Mesti buat hingga mereka keluar daripada alam gelandangan dengan harapan mereka tak kembali menjadi gelandangan”, katanya.

Apabila tamat tempoh kursus tersebut, sebahagian daripada mereka boleh memilih pekerjaan menerusi temu duga dan sekiranya tidak dipilih, mereka akan diserap ke pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu program pengindahan dan kebersihan. Mereka akan ditempatkan di asrama Desa Park, yang kini sedang disiapkan.

Ataupun mereka yang sihat boleh ditempatkan untuk bekerja di pasar borong atau lakukan kerja berkaitan dengan penyelenggaraan bangunan yang difahamkan memerlukan tenaga kerja seramai 50 orang dengan gaji RM1,400 sebulan.

Gelandangan yang sakit, uzur, tua dan kurang upaya (kira-kira 70-80 orang) pula akan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala penagih tegar akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Untuk yang tiada dokumen pula akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular