Seperti kelazimannya, biskut bangkit adalah antara biskut ‘wajib ada’ bagi setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri. Biskut bangkit disukai ramai kerana rasanya yang manis, berlemak serta teksturnya yang cair di dalam mulut.

Dari kanak-kanak sehinggalah ke orang tua, semua sukakannya!

SuiSan Aliezsha/Facebook

Namun kini, ada juga antaranya yang telah ‘mengubahsuai’ resipi warisan biskut bangkit. Salah satu idea inovasi yang berjaya mencuri hati orang ramai adalah biskut bangkit keju.

Berdasarkan perkongsian oleh Puan SuiSan Aliezsha, rupa-rupanya resipi untuk menghasilkan biskut bangkit keju sebenarnya tidaklah sesukar mana. Jadi, bolehlah anda mencubanya di rumah!

Bahan-bahannya:

SuiSan Aliezsha/Facebook

  1. 3 cawan tepung ubi yang disangai sehingga ringan
  2. 3 cawan tepung jagung
  3. 1 buku (250g) marjerin jenama Buttercup
  4. 250g keju krim tatura
  5. 1 cawan gula halus (boleh dilaras mengikut citarasa masing-masing)
  6. 2 biji kuning telur
  7. 1 sudu teh serbuk penaik
  8. 1 sudu teh esen vanila
  9. 1 buku (250g) keju cheddar – diparutkan

Cara membuatnya:

SuiSan Aliezsha/Facebook

1. Ayakkan tepung ubi, tepung jagung serta serbuk penaik sehingga halus dan sebati. Ketepikan.

2. Putarkan marjerin dan gula sehingga kembang sebelum memasukkan keju krim, esen vanila serta kuning telur. Putarkan semua bahan sehingga kembang dan sebati.

3. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit sambil memutarkan semua adunan.

4. Setelah adunan digaul sebati, uli adunan sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan (jika adunan doh terlalu melekat, tambahkan tepung ubi). 

5. Campurkan parutan keju cheddar ke dalam doh dan gaul sebati. 

SuiSan Aliezsha/Facebook

6. Perapkan doh selama beberapa minit sebelum doh sedia untuk ditekap (boleh gunakan penutup botol sebagai alternatif acuan).

SuiSan Aliezsha/Facebook

7. Bakar doh biskut yang telah ditekap dalam ketuhar yang telah dipanaskan dengan suhu 170°C selama 30 minit (bergantung kepada ketuhar masing-masing).

SuiSan Aliezsha/Facebook

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telah mendapat lebih dari 7,000 perkongsian, lebih dari 3,700 reaksi dan 586 komen sejak dimuatnaik pada 7 Mei lalu.

Nampak menyelerakan, selamat mencuba!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Resipi

Video Popular