Pada Isnin lalu, satu adegan kejar-mengejar di antara polis dengan dua orang suspek lelaki dipercayai pengedar dadah telah berlaku di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE). Berdasarkan video yang tular di media sosial, seorang pegawai polis trafik dilaporkan sedang menjalankan kawalan lalu lintas di Jalan Genting Klang, Setapak.

Bagaimanapun, polis melihat suspek yang menaiki kenderaan jenis Nissan Teana dalam keadaan mencurigakan sekali gus bertindak menahan kenderaan itu bagi menjalankan pemeriksaan. Namun, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dan memecut laju ke arah Gombak.

Polis yang sedang menunggang motosikal itu terus mengejar suspek dan meminta suspek untuk memberhentikan kenderaan tetapi tidak diendahkan. Sebaliknya, suspek bertindak memasuki jalan bertentangan dalam kesesakan lalu lintas itu bagi meloloskan diri.

Anggota polis ini kemudiannya telah turun dari motosikalnya dan melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan tersebut bertujuan untuk menghentikan kenderaan tetapi gagal. Suspek bagaimanapun terus memecut menuju Lebuhraya DUKE sebelum meninggalkan kereta tersebut di tengah pembahagi jalan lebuh raya dan melarikan diri.

Pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas kenderaan tersebut mendapati terdapat satu paket dadah dipercayai syabu berada di dalam kenderaan tersebut. Siasatan polis turut mendapati bahawa nombor pendaftaran kereta itu telah didaftarkan di bawah nama seorang wanita berusia 62 tahun. Pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kes ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular