Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggesa semua pelajar universiti yang telah dibenarkan pulang untuk mengambil iktibar kejadian sekumpulan mahasiswa yang melanggar perintah kuarantin di rumah yang kemudiannya diuji positif Virus Parti Komunis China (COVID-19).

Pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum ini diarahkan supaya menetap di kampus masing-masing sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac tetapi kerajaan menghantar mereka pulang secara berperingkat mulai 27 April.

Walau bagaimanapun, syarat yang dikenakan adalah pelajar mesti menjalani kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari sebaik tiba di kampung halaman.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru semua pelajar untuk mengambil iktibar daripada kes beberapa pelajar sebuah IPT yang telah diwajibkan menjalani kuarantin di rumah, namun didapati tidak patuh kepada notis arahan di bawah Seksyen 14, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,1988 (Akta 342).”

“Mereka ini kemudiannya didapati positif COVID-19. Ini boleh memberi risiko jangkitan kepada orang yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik, yang kemudiannya didapati positif COVID-19,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya pada 18 Mei.

Dr Noor Hisham bagaimanapun tidak mendedahkan universiti yang terlibat.

Setakat ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar pulang seramai 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing.

Dr Noor Hisham berkata, bagi perjalanan merentas negeri di Semenanjung Malaysia, semua pelajar diwajibkan menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari apabila tiba di kediaman masing-masing.

Ini termasuk mereka yang pulang ke Sabah dan Sarawak di mana selain wajib menjalani ujian persampelan Virus PKC (COVID-19) dan walaupun didapati negatif, mereka juga wajib mematuhi perintah kuarantin selama 14 hari di rumah.

Prosedur berbeza ke atas rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Untuk kategori kumpulan ini, mereka perlu menjalani pengasingan wajib di stesen kuarantin khusus. Kuarantin rumah adalah tidak dibenarkan.

Dr Noor Hisham turut menyatakan kebimbangannya ke atas golongan berdegil dengan cubaan mereka untuk melakukan perjalanan merentas sempadan negeri demi meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular