Saban hari, rata-rata daripada kita tentunya sangat menantikan perkhabaran terkini mengenai wabak COVID-19 menerusi sidang media harian yang akan disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, bukan?

Ia secara tidak langsung membuatkan figura hebat seperti Dr Noor Hisham Abdullah menjadi antara individu penting dan sangat popular di Malaysia. Segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan peringkat umur pasti mengenalinya.

Tetapi bukan semua tahu latar belakang pengajiannya di universiti suatu ketika dahulu, bukan? Maka dengan itu, Dr Noor Hisham menerusi akaun Facebook peribadinya telah berkongsi kenyataan yang begitu bermakna.

Noor Hisham Abdullah/Facebook

Kenyataan itu dimuat naik bersempena dengan sambutan Jubli Emas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau ulang tahun ke-50 pada 18 Mei lalu.

“Sebagai alumni UKM, bagi peringkat sarjana dan pascasiswazah, saya telah bertemu dengan ramai individu luar biasa yang telah memberi inspirasi dan bimbingan kepada saya selama ini”, tulis beliau.

Noor Hisham Abdullah/Facebook

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada mentornya, Profesor Emeritus Dr Freda Andrea Meah yang merupakan pelopor dalam bidang Pembedahan Payudara dan Endokrin, apabila memulakan unit endokrin pertama di Malaysia pada tahun 1978 di UKM.

Sebagai salah seorang anak muridnya, Dr Noor Hisham juga menulis bahawa beliau sudah mengenali mentornya itu lebih daripada 37 tahun iaitu sejak Dr Noor Hisham menjadi pelajar perubatan.

Noor Hisham Abdullah/Facebook

Dalam pada itu, semasa sesi sidang media harian, Dr Noor Hisham juga tidak melepaskan peluang untuk menzahirkan ucapannya bersempena dengan sambutan berkenaan.

“Sebelum meneruskan sesi soalan, saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Jubli Emas iaitu ulang tahun UKM ke-50”.

Noor Hisham Abdullah/Facebook

“Sebagai graduan kelahirannya, saya berdoa UKM akan terus melahirkan graduan-graduan yang cemerlang dan berdaya saing seperti motto universiti iaitu ‘Mengilhamkan Harapan dan Mencipta Masa Depan’,” katanya.

Dr Noor Hisham merupakan graduan lulusan doktor perubatan pada tahun 1988 dan meraih Sarjana Pembedahan pada tahun 1994. Ketika itu, beliau merupakan pakar bedah perunding kanan dalam pembedahan payudara, endokrin dan am di Hospital Putrajaya.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular