Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati para ibu bapa agar sentiasa mengawasi anak-anak khususnya ketika sambutan Hari Raya yang bakal tiba memandangkan kini sebanyak 317 kes COVID-19 dikesan dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun.

Ia didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sesi sidang media, di mana Selangor mencatatkan bilangan kes positif COVID-19 dalam kanak-kanak bawah 12 tahun tertinggi iaitu sebanyak 77 kes.

Ia diikuti dengan Negeri Sembilan sebanyak 48 kes, Johor dengan 46 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 28 kes dan juga Sabah sebanyak 26 kes secara keseluruhannya.

Menurut beliau, daripada 317 jumlah kes tersebut, sebanyak 112 kes daripadanya terdiri daripada kes jangkitan melibatkan kanak-kanak bawah 4 tahun dan 22 kes pula dikesan pada bayi yang berusia kurang daripada setahun.

Gambar Hiasan/Twitter

“Kanak-kanak dan bayi perlu dilindungi bagi memastikan mereka tidak terdedah dan dijangkiti dengan COVID-19”, katanya yang turut menekankan amalan penjagaan kebersihan diri.

Para ibu bapa dan penjaga menurutnya harus memberitahu anak-anak untuk menjaga kebersihan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun selain menggalakkan kanak-kanak memakai pelitup muka di tempat awam.

Seperti yang kita ketahui, virus tersebut menjejaskan paru-paru sehingga menyebabkan radang paru-paru dan pembekuan darah namun pada kanak-kanak, mereka berisiko untuk mengalami sindrom Kawasaki.

“Ia merupakan gejala yang boleh mereka alami. Ia bermula dengan demam dan kemudian radang pada saluran darah”, jelas Dr Noor Hisham.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk mandi atau sekurang-kurangnya mencuci tangan terlebih dahulu sebelum menyentuh anak-anak sesudah pulang ke rumah masing-masing untuk mengelakkan jangkitan.

“Kami harap bahawa kami akan dapat terus memastikan bahawa kami dapat memberikan penjagaan yang berkualiti kepada golongan kanak-kanak yang telah didiagnosis positif dengan COVID-19”, katanya lagi.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular