Berikutan kemasukan negara ke fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), orang ramai dinasihatkan untuk terus kekal mengamalkan normal baharu yang dicadangkan oleh kerajaan Malaysia supaya penularan wabak Virus Parti Komunis China (COVID-19) dapat dikawal dengan sebaiknya di negara ini.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui laman Facebook rasminya pada 14 Mei mengingatkan orang ramai untuk tidak leka dan kekal menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing agar wabak Virus PKC (COVID-19) dapat dibanteras.

Melalui kiriman berkenaan, KKM turut menunjukkan graf permodelan dan ramalan kes Virus PKC (COVID-19) di Malaysia dengan petunjuk bahawa graf berwarna biru adalah graf kes yang telah berlaku di Malaysia, dan graf berwarna merah melambangkan kes Virus PKC (COVID-19) yang mungkin berlaku jika rakyat Malaysia tidak mematuhi garis panduan dan nasihat yang diberikan oleh pihak KKM sebelum ini.

Berdasarkan graf tersebut yang menunjukkan jumlah kes Virus PKC (COVID-19) semasa PKP 1 sehingga 4 dan 10 hari PKPB, dapat dilihat dengan jelas bahawa graf (berwarna biru) telah menurun dari bacaan nilai “R naught” 3.5 kepada 0.3.

Bagaimanapun, sekiranya rakyat Malaysia, umumnya, tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan, graf yang telah menurun itu berkemungkinan meningkat semula sehingga ke nilai R 1.6 (seperti graf berwarna merah), yang menandakan bahawa kes jangkitan Virus PKC (COVID-19) mungkin akan bertambah semula.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk terus berjaga-jaga, mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan sentiasa menjaga kebersihan diri agar wabak jangkitan ini boleh dibendung.

Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telahpun mendapat sebanyak lebih dari 39,000 reaksi, lebih dari 10,000 perkongsian dan lebih dari 1,400 komen dari warganet yang sama-sama mendoakan agar Malaysia kembali ‘pulih’ dan ada juga antaranya yang saling ingat-mengingati untuk sama-sama menjaga diri.

Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

Dengan peringatan yang diberikan oleh pihak KKM ini, diharapkan agar semua rakyat Malaysia kekal berjaga-jaga dan tidak mulai leka dengan penularan wabak yang berbahaya ini. Jika tidak, tidak mustahil Malaysia akan menghadapi “gelombang wabak COVID-19 yang baharu” pula.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular