Penasihat khas kesihatan awam kepada Perdana Menteri menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil iktibar daripada trend COVID-19 di negara lain dengan berkata, orang ramai tidak boleh leka, terutama ketika Hari Raya Aidilfitri yang hampir menjelang.

Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata, Korea Selatan dan Jerman mencatatkan lonjakan baru dalam kes Covid-19 dan 16 orang di Bahrain diuji positif virus itu selepas berbuka puasa bersama.

Beliau memberi amaran bersama rayuan bahawa kecuaian dalam mematuhi langkah keselamatan akan menggagalkan kejayaan yang telah dicapai negara.

@JemilahMahmood/Twitter

“Kerajaan telah melakukan segalanya yang boleh dilakukan, malah lebih lagi,” kata Dr Jemilah.

“Ia terserah kepada orang ramai sekarang, tetapi bukan semua orang menyedari perkara ini. Kerajaan membuat keputusan berdasarkan bukti dan data yang sentiasa berubah. Apabila situasi berubah, sudah tentu kita harus menyesuaikan diri,” tambahnya kepada FMT.

Beliau berkata, badan kesihatan antarabangsa harus mengubah pandangan mereka dengan kemunculan bukti baru dan memberi contoh penggunaan topeng muka dan ujian antibodi.

“Ini bukan mengenai membuat pusingan U, tetapi menjadi sensitif terhadap ketidakpastian yang dibawa oleh pandemik,” katanya.

Dr Jemilah menggesa orang ramai supaya tidak melakukan perjalanan semasa cuti Hari Raya dan mencadangkan agar umat Islam merayakan perayaan itu di rumah masing-masing.

@dochelmy/Twitter

“Dengan cara ini, kita dapat pastikan keselamatan semua orang, terutama ahli keluarga yang lebih berusia. Sudah pasti kita tidak mahu kembali kepada situasi sekatan pergerakan, terutama pada Hari Raya,” tambahnya.

Beliau kesal sesetengah orang dilihat tidak menyedari bahawa tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan bergantung pada kepatuhan mereka terhadap prosedur yang ditetapkan.

Dr Jemilah berkata, keputusan kerajaan dibuat selepas menimbang risiko, sambil menambah bahawa Putrajaya harus sentiasa memastikan keseimbangan antara kehidupan dan mata pencarian.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengumumkan kadar kebolehjangkitan, atau nilai ‘R nought’ untuk COVID-19 di Malaysia adalah 0.3 dan itu adalah kejayaan besar.

Tegas Dr Jemilah, “Kita perlu mengekalkan atau menurunkan angka ini. Satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan mengamalkan penjarakan sosial dan keselamatan, memakai topeng muka serta memastikan kebersihan tangan juga pernafasan pada setiap masa.”

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular