Ketika Jonna Jinton berusia 12 tahun, dia mendengar lagu yang akan mengubah perjalanan hidupnya. Semasa lawatan lapangan sekolah ke muzium muzik di Sweden, Jonna dan rakan sekelasnya diarahkan untuk menutup telinga mereka.

Pemandu pelancong kemudian menjerit dan menyanyikan, satu irama bernada tinggi yang menghantui ruangan persekitaran dengan luangannya.

Sebilangan besar pelajar menutup telinga mereka kerana laungan itu bergema keras, tetapi Jonna Jinton yang terdengar suara itu, ingin mendengarnya sekali lagi sambil berkata. “Saya tidak mahu meletakkan tangan ke telinga saya. Ini adalah perkara paling indah yang pernah saya dengar.”

YouTube/Paparan Skrin

Setelah menguasai teknik vokal Skandinavia ini yang dikenali sebagai ‘Kulning’, Jonna Jinton mencipta dan menyiarkan lagu-lagunya sendiri untuk ratusan ribu pengguna YouTube dan pengikut Instagram yang terpikat. 

Bagi kebanyakan penonton, videonya adalah pengenalan kepada kulning. Tetapi amalan ini jauh daripada baru. Kulning adalah panggilan pengembala kuno yang telah diamalkan oleh wanita Sweden sejak beratus-ratus tahun malah berabad lamanya. Tetapi dalam beberapa dekad kebelakangan ini, irama tradisi itu kian dilupakan.

Kurang dari satu abad yang lalu, hutan dan padang rumput terpencil di Sweden bergema dengan suara wanita setiap musim panas. 

YouTube/Paparan Skrin

Ketika senja menghampiri, seruan kulning yang menghantui bergema melalui pohon-pohon dengan ungkapan pendek tanpa lirik. Walaupun bermelodi, ia bukan sekadar ekspresi muzik.

Ia adalah pesanan yang ditujukan untuk khalayak yang responsif iaitu haiwan ternakan yang jauh. Kulning adalah cara yang pasti untuk menyeru datang kawanan lembu, kambing atau apa sahaja haiwan ternakan untuk pulang di waktu petang atau senja hari.

Susanne Rosenberg, seorang profesor dan ketua jabatan muzik rakyat di Royal College of Music di Stockholm dan juga ahli kulning, berkata teknik vokal itu wujud sejak sekurang-kurangnya ketika era abad pertengahan dan suara ini hanya dilakukan oleh penternak wanita yang bekerja di ladang ternakan terpencil di kawasan pergunungan pada musim bunga sehingga musim luruh dikenali sebagai fäbod.

YouTube/Paparan Skrin

“Oleh kerana kehidupan di fäbod sangat sukar, para wanita membebaskan tekanan mereka dengan membuat suara kulning, itu adalah syurga ciptaan mereka,” terang Jonna Jinton.

Kawanan ternakan seperti lembu akan makan di padang rumput pada waktu siang, mengembara jauh dari kandang dan mereka perlu dipanggil sebelum malam. Wanita ini melaungkan kulning yang bergema di lanskap pergunungan, seperti tangisan menakutkan yang cukup kuat untuk memikat serta menyeru ternakan dari tempat gembalaan untuk kembali.

Profesor Susanne Rosenberg, yang meneliti volume kulning, mengatakan ia dapat mencapai hingga 125 desibel yang mana dia mengingatkan bahwa ia sangat berbahaya bagi seseorang yang berdiri di sebelah sumbernya. 

YouTube/Paparan Skrin

Jika dibandingkan dengan nada dan volume suara soprano yang dinamis, kulning dapat didengari oleh seekor lembu yang keliru sejauh lima kilometer. Ini menjelaskan bagaimana irama itu dapat mencapai kawanan yang jauh, tetapi apa yang mendorong haiwan untuk berlari ke arah suara itu tetap menjadi misteri. 

“Selalu ada sekurang-kurangnya seekor lembu yang merupakan lembu pintar dalam kawanan itu. Dia seperti pemimpin lembu. Setelah lembu yang sangat terpesona mendengar panggilan itu, lalu dia menuju ke sumber suara bergema, mendorong kawanan yang lain untuk mengikutinya,” terang Profesor Rosenberg.

YouTube/Paparan Skrin

Kata Profesor Rosenberg, untuk menghasilkan suara pada volume yang sangat besar dan tinggi, memerlukan pembelajaran teknik yang betul, yang ternyata jauh dari nyanyian klasik atau popular kerana ia lebih seperti suara memanggil.

“Seperti jika anda melihat seseorang di seberang jalan, itu adalah cara anda menggunakan suara anda secara semula jadi untuk menarik perhatian mereka. Kulning diajar secara lisan. Wanita muda belajar dari zaman dahulu, meniru lagu-lagu orang tua mereka dan perlahan-lahan menambahkan hiasan vokal individu,” kata Profesor Rosenberg.

Mungkin keseronokan mengalunkan kulning yang tidak ketara memungkinkannya tidak kekal bertahan sehingga ke zaman moden dalam kalangan masyarakat Sweden. Dari tahun 1960-an hingga 1980-an, penggembalaan musim panas terpencil mulai dilupakan, begitu juga kulning.

YouTube/Paparan Skrin

Atas dasar itu, beberapa pakar sejarah dan pemuzik tempatan termasuk Profesor Rosenberg, berniat untuk menjadikannya sebagai budaya Sweden dalam konteks baru dengan menggunakan platform baru.

Dengan bantuan pengkaji irama tradisi seperti Profesor Rosenberg, muzik tradisional Sweden menyaksikan kebangkitan semula, mencari kehidupan baru di teater, muzik rakyat kontemporari, kelas di universiti, organisasi feminis dan lain-lain.

Beberapa dekad kemudian, Jonna Jinton yang terinspirasi terus mempelajari tekniknya melalui salah satu buku Profesor Sussane Rosenberg. Kini, dia berhasrat untuk berkongsi kulning bersama khalayak ramai dan warganet melalui media sosial.

Ketika Jonna Jinton berusia 21 tahun, dia memutuskan untuk berhenti belajar dan berpindah dari bandar Gothenburg ke sebuah pondok di Grundtjärn, kampung terpencil tempat ibunya dilahirkan. Dia mula berlatih kulning lebih kerap, di dalam hutan untuk mencegah terserempak dengan beruang yang tidak dijangka atau untuk menenangkan lembu.

YouTube/Paparan Skrin

Jonna Jinton membuka laman blog dan ketika dia memuat naik video kulning pertamanya, ia langsung menjadi tular dengan jutaan tontonan.

“Sebelum saya mula berkongsi video, saya fikir saya bersendirian dengan perasaan ini. Tetapi begitu ramai orang merasakan sesuatu yang istimewa, seolah-olah mereka teringatkan sesuatu,” kata Jonna.

Kulning dapat memasuki ruang pendengaran makhluk semua jenis, daripada lembu setia sehingga kepada pengguna YouTube dan Instagram yang terpesona.

Kini irama kuno kulning mungkin tidak akan lenyap, sebaliknya muncul semula dengan cara baru. Sekiranya mendengar dengan teliti, anda boleh menemui kulning di mana-mana tempat di Sweden pada hari ini. 

YouTube/Paparan Skrin

Anda boleh mendengarnya di panggung pertunjukan rakyat, atau di halaman belakang rumah seseorang ketika seorang ibu memanggil anak-anaknya untuk makan malam. 

“Sebilangan wanita kini mengetahui ia sebagai tangisan jauh dalam bentuk pembelaan diri, maka ia akan bertahan,” kata Profesor Rosenberg.

“Saya tidak melihatnya sebagai kebangkitan semula. Ini benar-benar lanjutan dari ungkapan yang sangat kuat, yang akan selalu mencari jalan untuk terus bertahan,” Profesor Sussane Rosenberg memberi kesimpulan.

Tonton video di bawah:

Jonna Jinton/YouTube

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona VIDEO

Video Popular