Menjadi pekerja penghantaran makanan merupakan satu pekerjaan yang bersifat murni terutamanya ketika musim wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berlangsung sekarang.

Pekerja penghantaran makanan bukan sahaja perlu berhadapan dengan risiko dijangkiti wabak tetapi mereka juga terpaksa berhadapan dengan sikap segelintir pelanggan dan juga pekerja restoran yang kurang menyenangkan.

Baru-baru ini, seorang warga Singapura bernama Jerry Toh telah berkongsi luahan hatinya sebagai seorang pekerja penghantaran makanan yang setiap hari dilayan dengan buruk. Menurut Jerry, dugaan yang dilalui oleh pekerja penghantaran makanan sepertinya begitu mencabar terutamanya pada waktu puncak.

“Kebanyakan restoran tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi sewaktu musim ini. Mereka tidak mampu mengendalikan jumlah tempahan yang tinggi dan juga bilangan pelanggan yang masuk ke restoran. Jawapan yang biasa kami terima ketika waktu puncak adalah jeritan daripada kakitangan yang meminta kami membatalkan pesanan pelanggan sekiranya kami tidak boleh menunggu pesanan siap”.

Jerry Toh/Facebook

Kata Jerry lagi, pekerja penghantaran makanan sememangnya diberikan pilihan untuk membatalkan pesanan pelanggan. Walau bagaimanapun, dia lebih mengharapkan jawapan yang lebih baik daripada sekadar jeritan daripada kakitangan restoran.

Sekurang-kurangnya, mereka perlulah diberikan informasi yang lebih lanjut sebelum mereka mengambil keputusan untuk membatalkan pesanan. Misalnya, berapa banyak tempahan makanan yang perlu restoran siapkan sebelum tiba giliran mereka untuk menyiapkan tempahan bagi pihak pekerja penghantaran makanan seperti Jerry.

Dugaan dan cabaran yang tinggi ini dihadapi oleh setiap pekerja penghantaran makanan. Justeru, mereka sering memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain dan sentiasa meminta agar rakan mereka dalam bidang yang sama untuk bersabar.

Hal ini kerana pada waktu puncak inilah merupakan peluang untuk pekerja penghantaran makanan menerima jumlah pesanan yang banyak. Di luar waktu puncak, mereka hanya menghabiskan masa dengan menunggu sehingga ada pelanggan melakukan tempahan.

Bukan sahaja dimaki oleh pekerja restoran, terdapat juga sebilangan restoran yang bertindak mengambil pesanan atas talian meskipun restoran mereka masih belum bersedia untuk beroperasi.

“Saya pernah pergi ke sebuah restoran pada waktu tengahari tetapi mereka masih belum beroperasi dan saya diminta untuk menunggu selama 30 minit. Kenapa ada restoran yang buat begini? Bukan sahaja kami terpaksa menunggu lama tetapi pelanggan mereka juga”.

Gambar Hiasan/Facebook

Sudah tentu, apabila sesuatu pesanan makanan tiba lewat daripada waktu yang ditetapkan, siapa yang akan dimarahi kalau bukan pekerja penghantaran makanan. Sedangkan sudah terang lagi bersuluh bahawa punca kelewatan pesanan makanan itu tiba adalah datang daripada pihak restoran sendiri dan bukannya pekerja penghantaran makanan.

Jerry menegaskan bahawa tiada seorang pun pekerja sepertinya yang sengaja ingin melewatkan penghantaran makanan. Mereka semua mahu menyelesaikan tugas mereka secepat mungkin bagi membolehkan mereka menerima pesanan yang seterusnya.

Ada segelintir pekerja mengejar sasaran bilangan tempahan harian dan ada juga yang mengejar insentif demi mencari sesuap nasi.

“Menjadi pekerja penghantaran makanan adalah satu pekerjaan yang sukar. Saya pernah menghantar pesanan yang kotaknya terlalu besar dan tidak muat untuk dimasukkan ke dalam beg termal. Malangnya, hujan turun dan menyebabkan beg plastik yang membungkus makanan itu basah tanpa menjejaskan kualiti makanan”.

Jelas Jerry lagi, “Pelanggan itu bertanya kenapa beg itu dalam keadaan basah. Saya menjawab kerana hujan. Berkemungkinan besar pelanggan itu memberikan saya taraf satu bintang disebabkan oleh kejadian itu”.

Gambar Hiasan/Facebook

Bagaimanapun, meskipun kebanyakan pelanggan dan pekerja restoran bersikap buruk terhadap pekerja penghantaran makanan, masih terdapat segelintir individu yang baik hati dan sentiasa mengukirkan senyuman setiap kali menerima pesanan makanan mereka.

Kata Jerry, ada juga pelanggannya yang menghantar pesanan teks untuk mengingatkan Jerry untuk menunggang motosikal secara berhati-hati.

“Pada masa hadapan, tolong bersabar ketika menunggu pesanan makanan anda. Pekerja penghantaran makanan juga seorang manusia. Kami bukan Superman. Apabila anda menerima makanan, ucaplah terima kasih. Jika boleh, beri mereka upah tambahan jika anda sukakan perkhidmatan mereka. Mereka pasti bersyukur”.

Itulah dia luahan hati Jerry Toh mewakili semua pekerja penghantaran makanan. Mereka sebenarnya adalah wira yang tidak didendangkan kerana kesanggupan mereka untuk menempuhi cabaran dan risiko demi memastikan makanan tiba di pintu hadapan rumah anda dengan selamat.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular