Satu sindrom keradangan berkaitan dengan COVID-19 yang penuh misteri dilaporkan telah menyerang golongan kanak-kanak di beberapa negara dan ia merupakan satu mimpi buruk buat setiap para ibu bapa.

Walau bagaimanapun, tidak jelas pula bagaimana sindrom ini dikaitkan dengan COVID-19 namun kebanyakan kanak-kanak yang dirawat di hospital, dikesan positif COVID-19 dan mempunyai antibodi terhadapnya.

Di New York, tiga orang kanak-kanak, masing-masing berumur 7 tahun dan seorang lagi remaja telah disahkan meninggal dunia di mana ia dikaitkan dengan COVID-19 namun mereka menunjukkan simptom yang berbeza.

Sebelum itu, pihak berkuasa di New York telah melaporkan sebanyak 85 kes membabitkan kanak-kanak yang sakit dan telah dimasukkan ke hospital dengan simptom keradangan serius yang sama seperti penyakit Kawasaki.

Gambar Hiasan/Facebook

Penyakit Kawasaki merupakan satu penyakit yang dihidapi oleh kanak-kanak bawah 5 tahun di mana ia berupaya menjejaskan sistem imun sehingga menyebabkan demam, cirit-birit, ruam dan konjunktivitis serta keradangan dinding arteri.

Menurut laporan, gejala penyakit berkenaan dilihat mensasarkan jantung dan arteri koronari kanak-kanak yang telah dijangkiti COVID-19 dan keadaan ini menyebabkan pesakit seperti menerima kejutan toksik.

Gabenor New York, Andrew Cuomo memberi amaran bahawa keadaan ini mungkin permulaan kepada fasa baharu wabak COVID-19 yang bakal mendatangkan risiko kepada golongan muda khususnya. “Kini kita mempunyai masalah baru yang perlu kita selidiki”.

@NYGovCuomo/Twitter

Menurut pakar penyakit berjangkit dan ketua pediatrik Southwell Health Southside Hospital, Dr Sunil Sood, gejala yang ditunjukkan oleh kanak-kanak yang dijangkiti itu seakan-akan penyakit Kawasaki namun doktor tidak begitu yakin.

Hal ini kerana menurut Dr Sunil, penyakit itu biasanya menjangkiti kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah. Namun majoriti kanak-kanak yang terjejas dengan penyakit ini pula berusia lebih 5 tahun.

Oleh yang demikian, Jabtan Kesihatan New York telah mengeluarkan nasihat mengenai sindrom tersebut dan ia digelar sebagai “Pediatric Multi-System Inflammatory Syndrome Associated with COVID-19 in Children”.

Saranan yang dikeluarkan turut mengandungi panduan untuk menguji penyakit tersebut selain pihak hospital perlu segera melaporkan kes sindrom keradangan multi-sistem pediatrik yang berpotensi dikaitkan dengan COVID-19 pada pesakit bawah 21 tahun.

Selain daripada itu, penyedia perkhidmatan kesihatan juga telah diminta untuk melakukan ujian diagnostik dan serologi bagi mengesan kehadiran SARS-CoV2 atau antibodi pada para pesakit.

Bulan lalu, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain telah mengeluarkan amaran ekoran terdapat peningkatan kecil bilangan kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 mempunyai ciri bertindih dengan sindrom kejutan toksik dan penyakit Kawasaki.

Menerusi satu artikel yang diterbitkan oleh The Lancet, sekumpulan doktor di Britain difahamkan telah melakukan pemerhatian terhadap 8 orang pesakit kanak-kanak di London untuk tempoh 10 bulan.

Mereka mahu memantau komuniti pediatrik yang lebih luas ekoran gambaran klinikal yang mewakili fenomena baru yang mempengaruhi kanak-kanak yang sebelum ini tidak bergejala SARS-CoV2 yang serupa dengan sindrom penyakit Kawasaki.

Apa yang menjadi perhatian adalah walaupun belum ada perkaitan rasmi antara penyakit ini dengan COVID-19, namun kebanyakan kanak-kanak yang dirawat di hospital dikesan positif terhadap jangkitan virus korona.

Kemunculan data terbaru ini telah menyebabkan para doktor percaya bahawa golongan kanak-kanak, yang sebelum ini dianggap tidak berisiko terkena jangkitan COVID-19, kini mungkin berisiko untuk terkena jangkitan.

Kes penyakit misteri itu juga turut dilaporkan berlaku di Perancis. Itali dan Sepanyol, di mana mereka mengalami gejala seperti demam, ruam, bengkak tangan dan kaki, kerengsaan pada mata putih dan ada juga yang mengalami sakit perut.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular