Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mensasarkan angka jangkitan COVID-19 akan menurun menjadi satu digit berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kini dilaksanakan.

Walaupun angka jangkitan negara kini agak berkurangan namun keadaan ini masih lagi terlalu awal untuk kita mengisytiharkan kemenangan terhadap COVID-19. Hal ini kerana, pakar di China telah mengesan pesakit yang sebelumnya pulih, sekali lagi dijangkiti COVID-19.

Berikut merupakan tiga fakta penting mengenainya :

#1 Pesakit masih berisiko untuk dijangkiti semula walaupun simptom telah hilang sepenuhnya

Gambar hiasan/YouTube

Menurut Bloomberg, saintis China yang mengkaji data makmal dan rekod perubatan pesakit COVID-19 di Wuhan mendapati bahawa virus korona akan kekal selama 20-37 hari di saluran pernafasan walaupun setelah pesakit sembuh.

Kajian yang diterbitkan oleh The Lancet pula mendedahkan bahawa virus pada pesakit akan kekal menular setelah pulih dan keadaan ini mungkin akan menjadi penyebab terhadap penularan virus secara tidak sengaja dengan lebih meluas.

#2 Kebarangkalian untuk dijangkiti semula

Gambar hiasan/Sciencemag

Menurut laporan, pihak berkuasa kesihatan di China mendapati bahawa 14% daripada pesakit yang telah pulih daripada COVID-19 di wilayah Guangdong diuji positif semula ketika sesi pemeriksaan kesihatan.

Walau bagaimanapun, pakar mempercayai bahawa keputusan tersebut adalah disebabkan oleh keadaan pesakit yang masih lagi dalam proses pemulihan daripada jangkitan pada paru-paru dan belum sepenuhnya sihat.

Seorang pakar pula memberitahu bahawa jangkitan kali kedua tidak mungkin berlaku pada pesakit memandangkan jangkitan viral kebiasannya mempunyai imuniti jangka pendek dalam tubuh pesakit yang sedang dalam proses untuk sembuh.

“Saya tidak mengatakan bahawa jangkitan semula tidak boleh berlaku. Tetapi dalam waktu singkat, ia agak tidak mungkin”, kata Florian Krammer, ahli virologi di Icahn School of Medicine di New York, yang mengakui masih banyak yang perlu diteliti mengenai imuniti setelah pulih.

#3 Fungsi paru-paru pada pesakit mungkin berkurangan dalam jangka masa panjang

Gambar hiasan/Sciencemag

Menurut laporan, pihak berkuasa Hospital Hong Kong mendapati bahawa beberapa pesakit COVID-19 yang pulih kini menderita fungsi paru-paru yang berkurangan, di mana mereka tidak boleh lagi melakukan perkara yang biasa mereka lakukan sebelum ini.

“Mereka akan mencungap jika berjalan pantas. Sesetengah pesakit pula mungkin akan mengalami kekurangan 20-30% bekalan oksigen pada paru-paru setelah pulih”, jelas Dr Owen Tsang selaku Pengarah Perubatan Pusat Jangkitan Wabak di Hospital Princess Margaret, Kwai Chung.

Tambahnya lagi, pesakit yang telah dikeluarkan daripada hospital walau bagaimanapun boleh melakukan latihan fisioterapi dan kardiovaskular seperti berenang untuk membantu fungsi paru-paru dipulihkan secara beransur-ansur.

Namun menerusi imbasan, terdapat kerosakan organ pada paru-paru dan menurut Dr Owen, ia masih terlalu awal untuk memastikan sama ada pesakit akan mengalami komplikasi seperti fibrosis paru-paru di masa akan datang.

Terdapat garis panduan klinikal yang dikeluarkan Suruhanjaya Kesihatan Nasional China, di mana pesakit yang keluar daripada hospital perlu mengasingkan diri dan memantau tahap kesihatan diri mereka selama 14 hari.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL KESIHATAN

Video Popular