Baru-baru ini, tular satu rakaman video memaparkan sebuah jambatan di China yang dilihat beralun seperti alunan ombak laut akibat ditiup angin kencang. Rakaman yang mengejutkan ini dilaporkan berlaku di Jambatan Humen yang terletak di atas Pearl River, wilayah Guangdong.

Video berdurasi 1 minit 10 saat itu memaparkan Jambatan Humen yang beralun seperti ombak meskipun terdapat banyak kereta yang sedang melalui jambatan tersebut pada ketika itu. Media tempatan melaporkan bahawa pihak polis Guangdong telah bertindak menutup jambatan tersebut buat sementara waktu dan tidak membenarkan orang ramai untuk menggunakan jambatan berkenaan.

Menurut wakil jurucakap polis, kejadian jambatan beralun itu adalah disebabkan tiupan angin kencang di kawasan terbabit. Kelajuan angin di kawasan Jambatan Humen di antara pukul 3-5 petang pada ketika itu dicatatkan berkelajuan sehingga 38 mph. Akhbar tempatan menyifatkan bahawa fenomena itu adalah sesuatu yang ‘sangat jarang’ berlaku.

Sementara itu, seorang pakar seni bina mengulas lanjut mengenai peristiwa ini dan menyatakan bahawa jambatan gantung seperti Jambatan Humen itu direka supaya menjadi fleksibel.

“Kejadian Jambatan Humen yang terhuyung-hayang itu adalah normal jika dilihat daripada sudut pandangan mata kasar,” kata Fang Zheng, seorang professor dari Universiti Wuhan kepada Beijing News.

Jelasnya lagi, “Dalam jarak tertentu, ianya tidak membahayakan keselamatan pemandu yang menggunakan laluan tersebut.”

Beberapa pengguna jalan raya yang mengalami kejadian itu turut berkongsi pengalaman mereka sewaktu menggunakan jambatan berkenaan di media sosial.

“Saya baru sahaja melalui jalan itu kira-kira pukul 1 tengah hari. Jambatan itu telah bergerak ke atas dan ke bawah. Saya dapat merasakan bahawa kereta saya tidak mencecah tanah.”

“Kejadian itu membuatkan saya mual. Ianya sangat menyeramkan.”

Pihak berkuasa telah menjalankan pemeriksaan awal ke atas Jambatan Humen dan mendapati struktur binaan itu berada dalam keadaan elok dan tidak mengalami sebarang kerosakan. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa akan terus menjalankan pemeriksaan secara lebih mendalam bagi mendapatkan kepastian berkenaan kejadian yang aneh itu.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular