Suka atau tidak kita perlu berhadapan dengan pelbagai kesan akibat penularan wabak Virus Parti Komunis China (COVID-19). Bukan hanya di Malaysia, malah seluruh dunia merasakan kesan ekonomi yang sangat serius termasuk negara besar seperti Amerika Syarikat. Pelbagai jenis perniagaan dan perkhidmatan terpaksa ditutup sehingga menjejaskan bukan sahaja pendapatan rakyat malah negara juga turut menerima kesan buruk.

Untuk membendung wabak ini, Thailand telah mengambil tindakan dengan melaksanakan perintah berkurung atau ‘lockdown’ di negara itu. Akibatnya, banyak perniagaan yang ditutup dan pelbagai sekatan juga dilakukan. Ekoran sekatan perjalanan udara, banyak syarikat penerbangan telah terjejas sehingga mendorong pekerja mencari jalan keluar lain untuk menyara keperluan seharian mereka.

Menurut Berita Awani, lebih 200 pekerja syarikat penerbangan di Bangkok telah mengambil langkah untuk bekerja dalam perkhidmatan penghantaran termasuklah Kritee Youngfuengmont, yang pernah bekerja sebagai juruterbang jet komersial sebelum ini. Sepanjang ‘lockdown’ dilakukan pemuda itu kini bekerja sebagai penghantar makanan dan bekalan di samping turut menyediakan perkhidmatan e-hailing.

Berita Awani mendedahkan bahawa Kritee kini menghasilkan sekitar 1,500 Baht (sekitar RM200) setiap hari. Bagi Kritee, jumlah itu sudah mencukupi untuk menampung perbelanjaan hariannya buat sementara waktu. Sepanjang pelaksanaan ‘lockdown’ ini penduduk Bangkok dikatakan menggunakan perkhidmatan penghantaran untuk mengelakkan mereka daripada keluar dari rumah mereka. Ini memberi peluang kepada Kritee untuk menjana pendapatan.

Sementara itu di Malaysia pula Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa sektor ekonomi tertentu akan mula beroperasi pada 4 Mei. Namun, masih terdapat beberapa syarat dan garis panduan yang harus diikuti. Perniagaan mungkin sudah boleh beroperasi tetapi langkah keselamatan tetap perlu diamalkan oleh setiap orang untuk terus memerangi wabak Virus PKC (COVID-19).

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share

Video Popular