Tatkala dunia masih lagi berjuang memerangi virus Parti Komunis China (COVID-19), terdapat laporan mengenai satu lagi virus yang muncul di China iaitu virus krustasea, di mana ia sedang menular di ladang ternakan udang di 11 buah wilayah dan bandar di China.

Virus misteri berkenaan ternyata membimbangkan para penternak udang di Selatan Guangdong, China memandangkan ia bukan sahaja menjejaskan aktiviti penternakan akuakultur bahkan turut menimbulkan krisis terhadap hasil bekalan makanan laut.

NTDTV

Menurut laporan ‘Aquatic Frontier Magazine’ pada 12 April, terdapat penyakit udang yang tinggi di Selatan China terutamanya di Pearl River Delta, Shanwei, Raoping, Fujian dan kawasan Selatan yang lain. Hasil ujian mendapati 60% daripadanya mempunyai kaitan dengan virus iridescent udang.

Virus itu dikenali sebagai ‘Decapod iridescent virus 1’ (Div1) dan pertama kali dikesan pada awal tahun 2014. Ianya sangat mudah berjangkit dan bukan hanya membunuh udang sahaja, malah turut berupaya menghapuskan populasi ketam dan udang kara.

South China Morning Post

Sekali lagi virus ini telah kembali pada bulan Februari tahun ini, di mana ia menjejaskan lebih kurang satu perempat kawasan pengeluaran udang. “Kadar dan angka jangkitannya sangat membimbangkan”, kata Wu Jinhong, seorang penternak udang di Da’ao, bandar Jiangmen.

Penyakit ini diketahui tidak berbahaya bagi manusia namun ia menyebabkan industri udang terpaksa menghadapi kerugian berskala besar sama seperti ketika krisis demam babi Afrika yang melanda China, di mana sebanyak 60% populasi babi dihapuskan.

Keadaan sangat mencemaskan ekoran tiada ubat dan penawar khusus untuk virus ini. Apabila udang telah dijangkiti dengan virus ini, ia akan menjadi kemerahan manakala bahagian kaki menjadi kehitaman. Kadar kematian agak tinggi dan boleh mencapai sehingga 80%.

South China Morning Post

Menurut penternak udang di Zhuhai, virus ini tidak membeza-bezakan spesies dan menjangkiti semua jenis sama ada udang bersaiz besar atau kecil, daripada jenis udang putih di Pasifik ataupun udang gergasi air tawar.

“Setelah satu kolam dijangkiti virus ini, tiada apa yang boleh dilakukan oleh penternak memandangkan kolam yang berdekatan juga berisiko tinggi untuk dijangkiti dengannya beberapa hari kemudian”, jelasnya lagi.

Menurut pakar, punca dan cara virus tersebut menular masih belum dapat dikenalpasti. Ini berikutan tiada cara efektif untuk mencegah penyebarannya. Buat masa ini, ia tidak menjangkiti manusia namun tiada jaminan bahawa ianya tidak bermutasi dan menjangkiti manusia sama seperti selesema burung.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular