Pulau Hokkaido yang terletak di Jepun kini dilanda gelombang kedua wabak COVID-19 selepas pihak berkuasa memutuskan untuk menamatkan perintah berkurung selepas kes jangkitan berkurang kepada satu angka.

Gelombang kedua yang dikatakan lebih mengganas ini seterusnya menyebabkan pulau tersebut terpaksa diisytiharkan darurat kecemasan setelah kawasan tersebut mencatatkan sebanyak 135 jangkitan COVID-19 dalam tempoh seminggu.

Gambar hiasan/Unsplash

Dr Kiyoshi Nagase dari Pertubuhan Perubatan Hokkaido berkata kepada TIME bahawa beliau menyesal kerana perintah berkurung itu ditamatkan terlalu awal.

“Ini bermakna kita mungkin perlu menunggu hingga tahun depan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan kita boleh menamatkan perintah berkurung tanpa risau,” katanya.

Menurut laporan dari TIME, penamatan perintah berkurung di Hokkaido diumumkan sebelum penduduk Hokkaido menikmati cuti tiga hari, termasuk cuti hari minggu yang seterusnya menyebabkan para penduduk mula membanjiri tempat awam seperti restoran, bandar, kafe dan sebagainya pada hari penamatan perintah berkurung. 

Hal ini seterusnya telah menarik perhatian ramai penduduk dari wilayah lain di Jepun yang turut datang mengunjungi pulau berkenaan, disamping para pelajar dari wilayah lain yang dibenarkan pulang, serta pekerja dari wilayah lain yang perlu memulakan tugas masing-masing di Hokkaido sebelum kes jangkitan COVID-19 dilaporkan meningkat semula di kawasan itu.

Selepas tiga minggu perintah berkurung ditamatkan, dilaporkan Hokkaido kembali mencatatkan jumlah jangkitan sebanyak 18 kes, setelah berjaya ‘menghapuskan’ virus berkenaan sebelum perintah berkurung ditamatkan sebelum ini.

“Pihak berkuasa memikirkan tentang pengunjung yang datang dari luar negara tetapi mereka tidak pernah menganggap bahawa migrasi domestik boleh membawa virus itu kembali,” kata Hironori Sasada, profesor politik Jepun di Universiti Hokkaido.

Berikutan peningkatan semula kes, pada 14 April, Hokkaido terpaksa diisytihar darurat kecemasan untuk kali yang kedua. Pulau berkenaan menerima kira-kira 80% peningkatan jumlah jangkitan kes COVID-19 selepas pihak berkuasa menamatkan perintah berkurung dalam keadaan yang “terlalu awal”.

Gambar hiasan/Unsplash

Profesor Yoko Tsukamoto, pakar kawalan penyakit berjangkit di Universiti Sains Kesihatan Hokkaido turut bersetuju bahawa perintah berkurung di kawasan itu ditamatkan dalam tempoh yang terlalu awal.

“Pada masa itu, kita tidak mempunyai maklumat yang mencukupi atau pengetahuan mengenai wabak COVID-19.

“Namun, kita tidak boleh mempersalahkan sesiapa kerana keputusan (menamatkan perintah berkurung) dibuat berdasarkan penurunan kadar jangkitan kepada hanya satu atau dua kes sehari.

“Tapi kini kita sedar (bahawa) ini menjadi kesilapan terbesar, walaupun pada masa itu ia adalah tindakan yang wajar dilakukan,” katanya.

Hokkaido sebelum ini menjadi contoh bagi banyak negara dalam kemampuannya mengawal penyebaran wabak COVID-19 setelah kepulauan ini mengambil langkah pelaksanaan perintah berkurung bermula 28 Februari lalu selepas mengesan 66 kes positif COVID-19.

Namun, kini situasi yang berlaku di Hokkaido ini menjadi pengajaran kepada ramai pemerintah negara asing dalam memerangi wabak COVID-19.

“Itulah yang kita ketahui sekarang: walaupun kamu berjaya mengawal gelombang yang pertama, kamu tetap tidak boleh berehat,” kata Timbalan Dekan di Jabatan Politik Antarabangsa, Universiti Hokkaido, Kazuto Suzuki mengenai situasi ini.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular