Tiga pemberi maklumat yang ingin mendedahkan ‘kebenaran’ di Wuhan masih belum dapat dikesan selama dua bulan. Chen Qiushi, Fang Bin dan Li Zehua berkongsi gambar dan video dramatik dari dalam bandar Wuhan yang dikuarantin, sumber asal pandemik Virus PKC (COVID-19).

Ketiga-tiga wartawan warganegara China itu bertekad untuk mendedahkan situasi sebenar yang berlaku tetapi lokasi penyembunyian mereka masih menjadi misteri sejak bulan Februari ketika virus tersebut sedang menular di seluruh China.

Akaun popular mereka di YouTube telah diharamkan di Tanah Besar China, tetapi masih dapat diakses melalui rangkaian peribadi maya (VPN) apabila tiba-tiba semuanya terus menjadi sunyi, dan pihak berkuasa China tidak memberikan sebarang komen mengenai apa yang telah berlaku kepada tiga pendedah maklumat ini.

YouTube/Paparan Skrin

Ahli perniagaan Wuhan, Fang Bin tiba-tiba hilang setelah memuat naik rakaman video dengan dakwaan timbunan mayat dalam sebuah bas mini di luar hospital.

Video pendeknya juga kelihatan menunjukkan pasukan perubatan berpakaian hazmat yang cuba merawat pesakit ketika orang lain menunggu dan mengerang dalam kesakitan.

Dia kemudian mendekati salah seorang petugas perubatan dengan bertanya, “Begitu ramai orang baru meninggal dunia? Waktu bila ini berlaku? Semalam? Terdapat banyak mayat.”

Rakaman video tersebut terdedah setelah ia berjaya dikongsi dengan wartawan Jennifer Zeng di Twitter. 

Fang Bin mendakwa pegawai polis menyerbu masuk ke rumahnya dan membawanya pergi setelah dia menyiarkan video itu pada 1 Februari. 

Fang Bin kemudian dibebaskan tetapi akaunnya telah ditutup pada 9 Februari setelah dia memuat naik video pendek dengan tulisan, “Semua orang bangkit memberontak, serahkan kuasa pemerintah kembali kepada rakyat.”

Aktivis Chen Qiushi, 34 tahun adalah seorang peguam hak asasi manusia yang menjadi wartawan video telah tiba di Wuhan sebelum bandar itu menguatkuasakan perintah berkurung.

YouTube/Paparan Skrin

Chen mendedahkan bahawa liputannya semasa tunjuk perasaan di Hong Kong pada bulan Ogos menyebabkan dia diganggu oleh pihak berkuasa, yang dilaporkan telah menghapus akaun media sosialnya ketika dia kembali ke China. 

Dalam rakaman video YouTube pertamanya dari Wuhan, Chen berkata, “Saya akan menggunakan kamera untuk mendokumentasikan apa sebenarnya yang berlaku. Saya berjanji saya tidak akan menyembunyikan kebenaran.”

Salah satu laporannya mendakwa menunjukkan seorang wanita duduk di sebelah saudara yang sudah meninggal dunia di atas kerusi roda ketika dia cuba menghubungi keluarganya melalui telefon. 

Tetapi kemudian semuanya menjadi senyap sunyi dan Chen tidak lagi muncul atau kedengaran sejak 6 Februari. Catatan terakhir di akaun Twitternya, yang dilaporkan oleh BBC dikendalikan oleh salah seorang rakan yang meminta kepulangannya dengan selamat.

“Siapa yang dapat memberitahu kami di mana dan bagaimana Chen Qiushi sekarang? Bilakah akan ada seseorang yang boleh bercakap dengannya lagi? Chen Qiushi tidak dapat dihubungi selama 68 hari setelah membuat liputan koronavirus di Wuhan. Tolong selamatkan dia !!!” rayu rakannya itu.

Wartawan Li Zehua, 25 tahun, sebelum ini bekerja untuk penyiar CCTV dan melaporkan dari Wuhan secara bebas.

YouTube/Paparan Skrin

Menurut Radio Free Asia (RFA), Li Zenhua menjadi sasaran setelah mengunjungi Institut Virologi Wuhan, tempat yang sangat sensitif bagi pihak berkuasa China. 

Teori konspirasi menyatakan bahawa Virus PKC berasal dari institut ini. Li Zenhua tidak kelihatan sejak 26 Februari.

Awal bulan ini, anggota kongres Amerika Syarikat, Jim Banks meminta pemerintah mendesak China untuk menyiasat kehilangan tiga wartawan warganegara China itu.  

“Ketiga-tiga lelaki ini memahami risiko peribadi yang akan ditanggung selepas melaporkan wabak koronavirus secara bebas di China, tetapi mereka tetap melakukannya,” tulis Jim Banks.

Sambil mendakwa kerajaan Komunis China sedang ‘memenjarakan mereka atau mungkin terjadi lebih buruk lagi’. 

Virus PKC pertama kali muncul di Wuhan yang terletak di tengah China pada akhir bulan Disember, menjangkiti puluhan hingga ratusan ribu orang dan memberi kesan kehidupan 11 juta warganya di bandar industri itu, yang kini menular menjadi pandemik global.

Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar ke seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular