AirAsia akan menyambung semula penerbangan mulai 29 April ini bermula dengan AirAsia Malaysia – AK. Diikuti oleh AirAsia Thailand – FD (1 Mei) dan AirAsia Indonesia – QZ (7 Mei).

Walau bagaimanapun, penerbangan semula tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

INSTAGRAM

Dalam satu kenyataan, Presiden (Syarikat Penerbangan) Kumpulan AirAsia, Bo Lingam memberitahu bahawa penyambungan semula perkhidmatan tersebut adalah untuk beberapa laluan domestik terpilih sahaja.

Katanya lagi, apabila keadaan bertambah baik dan sehingga sekatan perjalanan ditarik balik oleh kerajaan, penerbangan ke destinasi antarabangsa akan disambung semula secara berperingkat.

Bo Lingam turut menyatakan bahawa pihaknya berbesar hati untuk menyambung semula penerbangan dan perkhidmatan kepada para tetamu bermula dengan laluan domestik. Beliau juga berharap agar operasi sepenuhnya dapat dijalankan secepat mungkin.

Menurut Bo Lingam lagi, AirAsia mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan pelanggan dan kakitangan mereka. Lantaran itu, mereka bekerjasama secara aktif dengan semua pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan.

Mereka juga mematuhi panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan standard tertinggi dalam setiap penerbangan.

Katanya lagi, semua pesawat yang dilengkapi dengan Penapis Udara Kecekapan Tinggi (HEPA) standard hospital juga akan melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan. 

AIRASIA.COM

Bagi pelanggan yang ingin menempah tiket penerbangan, anda bolehlah berbuat demikian di laman sesawang airasia.com atau melalui aplikasi mudah alih. Anda juga boleh menggunakan akaun kredit untuk menebus penerbangan tersebut.

Para pelanggan juga digalakkan untuk menyemak status penerbangan untuk maklumat terkini secara langsung berikutan keadaan yang sentiasa berubah pada masa ini.

Walau bagaimanapun, para pelanggan adalah diingatkan agar sentiasa mengamalkan langkah perlindungan yang disyorkan secara universal termasuklah memakai penutup muka, penjarakan sosial dan menjaga kebersihan diri.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES NASIONAL

Video Popular