PUTRAJAYA – Susulan krisis penularan wabak Virus Parti Komunis China (COVID-19), kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2020.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin pada 15 April, di mana keputusan berkenaan berkuatkuasa kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

Keputusan tersebut juga terpakai buat sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM. Walaupun UPSR dan PT3 dibatalkan, KPM akan memastikan akses murid kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diberi keutamaan.

“Pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan peringkat rendah kerana penilaian boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah yang lain”, katanya.

Oleh kerana keputusan UPSR menjadi kriteria pemilihan kemasukan ke sekolah berasrama penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara dan Maktab Tentera Diraja, KPM akan memperkenalkan kaedah baru yang tidak tertumpu kepada prestasi akademik sahaja.

“Pembatalan PT3 tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah. Satu kaedah baharu akan diperkenalkan”, katanya pada sesi sidang media.

Tambahnya, keputusan yang diperoleh daripada kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama tahun depan.

Untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 adalah pada suku pertama 2021. Begitu juga dengan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang akan diadakan dalam suku pertama 2021.

KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan diploma pada Julai atau Ogos 2021. Manakala tarikh kemasukan ke program ijazah pula adalah pada bulan September atau Oktober 2021.

Menurut beliau lagi, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan hanya akan dibuat apabila keadaan sudah benar-benar pulih.

Pada peringkat ini, pembukaan sekolah hanya membabitkan kelas peperiksaan awam iaitu SPM, SVM, STPM, STAM dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“KPM ingin menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara”.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid”, jelasnya lagi.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL Pendidikan

Video Popular